TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

31 Disember 2011

LAHIR BAYI HASIL SEKEDUDUKAN

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Lahir bayi hasil sekedudukan

LEDANG - Tindakan berani sepasang kekasih bersekedudukan selama setahun sehingga melahirkan seorang bayi perempuan mengundang padah apabila mereka dicekup berkhalwat oleh Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL), awal pagi semalam.

Kegiatan mereka itu terbongkar dalam serbuan oleh PPADL, kira-kira jam 12.30 pagi di sebuah rumah di Bukit Gambir di sini, selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada orang ramai.

Bayi perempuan berkenaan kini berada dalam jagaan wanita itu yang dilahirkan pada 16 Oktober lalu dan telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Daerah Ledang.

Namun, lebih mengejutkan apabila ibu bapa lelaki berkenaan turut bersubahat dan hanya membiarkan anak lelakinya bersekedudukan dengan teman wanita dalam satu rumah yang turut didiami mereka.

Lelaki berkenaan berumur 30 tahun dan pasangannya, 34, ditahan untuk siasatan lanjut.

Malahan, wanita berasal dari Sagil dan tidak pernah berkahwin itu turut mendakwa menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu.

Manakala, lelaki berkenaan yang juga pengawal keselamatan, difahamkan telah berumah tangga dan memiliki empat anak yang kini dalam proses bercerai dengan isterinya.

“Saya sedar kesilapan saya dan kami ada merancang untuk bernikah sebaik menyedari teman wanita hamil.

“Tetapi kerana beberapa halangan termasuk masalah kewangan menyebabkan perancangan ini tergendala begitu sahaja,” katanya ketika disoal penguat kuasa.

Sementara itu, Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, serbuan di rumah berkenaan dijalankan sepasukan anggota PPADL yang diketuai Pegawai Penguat kuasa, Mohd Zainal Kadiran.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, bapa lelaki terbabit membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan meskipun terpaksa menunggu hampir 15 minit.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita memakai baju-T dan berseluar sedang menidurkan bayi perempuan di ruang tamu.

“Manakala, lelaki berkenaan pula sedang tidur dalam bilik dengan hanya berseluar pendek,” katanya.

Sulaiman berkata, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Gambir untuk laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Menurutnya, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN 31 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: