PENGUNJUNG SETIA

03 Disember 2011

GARA-GARA BATU DELIMA MERAH

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Gara-gara batu delima merah

MUAR – “Jangan terpedaya jika didatangi dua lelaki menjual batu delima merah,” demikian nasihat seorang pesara tentera kepada orang ramai selepas menjadi mangsa pukau mereka pada 25 November lalu.

Berikutan insiden tersebut, Ibrahim Jambari, 66, dari Kampung Jawa Panchor, di sini terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM5,000 akibat terpedaya dengan dua lelaki berkenaan yang ditemuinya di ruang meletak kenderaan berhampiran pasar minggu di Pekan Bukit Gambir.

Menurut Ibrahim, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, dia yang baru selesai membeli-belah di sebuah pasar minggu disapa seorang lelaki yang tidak dikenali dan hanya memperkenalkan diri sebagai Zol Daud, 30-an.

“Pada mulanya saya enggan melayan tetapi lelaki berkenaan beria-ia hendak berbual dengan saya sambil menunjukkan baru merah yang kononnya batu delima asli yang diperolehi dari Sabah,” katanya.

Ibrahim berkata, Zol turut minta pertolongan untuk menghantarkannya ke sebuah bank di pekan Bukit Gambir, iaitu kira-kira 50 meter dari tempat mereka berjumpa.

“Di bank itu, saya diperkenalkan dengan seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Muslim berusia 59 tahun dan turut mengatakan bahawa batu tersebut adalah batu delima asli.

“Malahan, Muslim juga mengatakan bahawa batu berkenaan boleh membantu saya menjadi kaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, dia seolah-olah dipukau kerana hanya mengikut semua arahan yang diberikan Muslim.

“Tanpa sedar saya membawa Muslim pulang ke rumah dengan menaiki kereta untuk mengambil buku akaun dan terus ke bank serta mengeluarkan duit RM5,000.

“Kemudian kami pergi semula ke Bukit Gambir dan berjumpa dengan Zol dan tanpa berfikir panjang menyerahkan wang tersebut kepada Muslim,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja menyerahkan duit tersebut, Zol memberikannya batu berwarna merah dan memberitahu selepas solat Jumaat Ibrahim perlu pulangkan semula batu merah dan wangnya akan dikembalikan pada jam 2.30 petang.

Bagaimanapun, seperti yang dijanjikan selepas selesai solat Jumaat Ibrahim menunggu Zol dan Muslim di sebuah masjid di Bukit Gambir, namun mereka tidak muncul.
Telefon bimbit kedua-dua lelaki berkenaan juga tidak berangkat.

“Ketika itulah saya sedar telah ditipu dan segera membuat laporan di Balai Polis Bukit Gambir pada jam 6.15 petang hari kejadian,” katanya.
Sehingga kini, Ibrahim cuba menjejaki dua lelaki berkenaan tetapi masih gagal.

“Malah saya terkejut apabila telefon bimbit salah seorang daripada mereka dijawab seorang lelaki Cina,” katanya.

SUMBER: 03 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: