PENGUNJUNG SETIA

09 Disember 2011

BAJET UNTUK RAKYAT JOHOR

Oleh : AZLINA OTHMAN
jim

NUSAJAYA – Bertemakan 'Menjana Pendapatan, Ber­belanja Demi Rakyat' adalah untuk menggerakkan usaha ke arah meningkatkan hasil kerajaan demi memberi perkhidmatan lebih baik di samping memacu pertumbuhan bagi meningkatkan pendapatan rakyat menjadi tema Perbentangan Bajet 2012 negeri Johor kali ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, tumpuan diberikan kepada keselesaan hidup rakyat dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang menyentuh hati nurani dan kehidupan seharian mereka.

Menurutnya, Bajet 2012 menggariskan enam strategi iaitu menjana pertumbuhan ekonomi dengan lebih strategik memangkin pembangunan; penghayatan agama Islam; membangunkan masyarakat Johor yang beridentiti; meningkatkan nilai-nilai murni; meningkatkan kualiti rakyat; melaksanakan transformasi perkhidmatan awam; dan meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi rakyat.

“Cabang-cabang pembangunan seperti pembasmian kemiskinan, pembangunan sosioekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kesihatan diolah untuk meningkatkan mutu hidup rakyat melalui pelaksanaan merentasi segenap lapisan rakyat dengan sasaran merapatkan jurang sesama kumpulan masyarakat.

“Bajet 2012 digarap dengan mengambil kira suasana ekonomi dunia yang semakin rencam dan ketidaktentuan pasaran global berikutan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia, tidak kira negara membangun ataupun maju,” katanya ketika berucap di Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini, semalam.

Abdul Ghani berkata, pada masa yang sama, kerajaan yang sememangnya mengamalkan perbelanjaan berhemah akan terus mengurus dengan penuh tanggungjawab dengan melaksanakan apa juga pembangunan dan program berdasarkan keutamaan.

“Tumpuan akan diberikan kepada program-program yang memberi impak lebih meluas yang mengutamakan kepentingan ramai dengan perkhidmatan kerajaan akan ditingkatkan melalui inisiatif-inisiatif yang lebih inovatif sesuai dengan aspirasi rakyat masa kini.

“Semua perancangan ini dapat diatur dan dilaksanakan dengan penglibatan merata rakyat yang disertai sokongan padu menjadi sumber kekuatan kepada Kerajaan meneruskan pembelaan menjana kesejahteraan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 9 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: