PENGUNJUNG SETIA

16 Disember 2011

JANGAN JADIKAN MASJID GELANGGANG POLITIK

Ditulis oleh Hamirul Hairi Mohd Noh

LEDANG: Masyarakat Islam di negeri ini dinasihatkan supaya menghormati masjid dan tidak menjadikannya sebagai gelanggang untuk memecahbelahkan ummah.

Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata selain sebagai tempat beribadah dan menjalankan aktiviti keagamaan, masjid sepatutnya dijadikan tempat untuk merapatkan ukhuwah.

Beliau kesal kerana ada pihak yang menggunakan masjid untuk kepentingan politik sehingga boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan di kalangan umat Islam.

“Mengambil contoh apa yang berlaku pada pilihanraya kecil (PRK) Tenang dahulu, imam masjid baru sahaja memulakan solat tetapi ada sekumpulan jemaah dari luar Johor mengerjakan solat dengan imam mereka sendiri pada waktu yang sama.

“Kita berasa sedih sekali apabila masjid menjadi tempat berlakunya perbalahan di kalangan umat Islam. Agaknya suasana di negeri-negeri tertentu terbawa-bawa hingga ke negeri Johor.,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Taklimat Jawatankuasa Baru Masjid dan Surau Sesi 2011-2013 bagi daerah Ledang, di sini hari ini.

Katanya, di negeri -negeri tertentu pihak-pihak berkenaan malah menggunakan peluang berkhutbah untuk mencemuh dan membuat tuduhan ke atas pihak lain.

“Mereka menjadikan khutbah Jumaat sebagai khutbah politik yang boleh mewujudkan perbalahan di kalangan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, amalan itu tidak berlaku di Johor kerana teks khutbah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dan diedarkan di seluruh masjid di negeri ini.

“Kita tidak guna langsung masjid untuk sebar politik.

“Alhamdulillah di negeri Johor kita menggunakan khutbah yang diedarkan oleh jabatan bahkan Almarhum Tuanku dahulu juga sentiasa mengingatkan saya mengenai perkara ini,” katanya.

SUMBER: MEDKOM 16 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: