TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

03 Jun 2012

'BANGUNLAH NAK, JANGAN TINGGAL AYAH'

LEDANG: "Izwan, bangunlah nak, jangan tinggalkan ayah," rintih Hashim Kamat, 55, ketika memangku jenazah anak lelakinya yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Sengkang-Bukit Gambir, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.50 malam, Mohd Izwan Farid, 19, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Bukit Gambir.

Hashim yang tiba tidak lama selepas kejadian sempat memangku jenazah anaknya hampir sejam sebelum jenazah dihantar ke Hospital Tangkak.

Menurut Hashim, ketika menerima panggilan daripada adik Izwan, Hamizad, 16, berkaitan kemalangan itu, dia berasakan seolah-olah bermimpi dan tidak percaya dengan maklumat itu.

"Ketika dimaklumkan berkaitan kejadian, saya berada di Kampung Parit Jarum Darat kerana menghadiri gotong-royong perkahwinan anak saudara.

"Ia bagaikan mimpi kerana sejam sebelum itu, saya bertemu Izwan di rumah dan dia kelihatan ceria seperti biasa," katanya.

Menurut Hashim, Izwan tidak bekerja pada hari kejadian dan sepanjang di rumah, dia juga tidak menunjukkan kelakuan pelik.

Katanya, jarak lokasi kemalangan dengan rumahnya di Kampung Batu 19 hanya tiga kilometer.

"Arwah tidak memaklumkan apa-apa dan ketika kejadian, dia kemungkinan dalam perjalanan ke Pekan Bukit Gambir untuk bertemu rakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kemalangan berkenaan.

Harun berkata, mangsa dipercayai menunggang motosikal dari arah Sengkang menghala Bukit Gambir dan tiba di tempat kejadian, dia dipercayai cuba memotong kenderaan lain.

"Mangsa berkemungkinan gagal memotong lalu memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.

"Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa berkecai dan mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan," katanya.

SUMBER: METRO AHAD, 03 JUN 2012

Tiada ulasan: