PENGUNJUNG SETIA

03 Jun 2012

TAK SANGKA PERTEMUAN TERAKHIR

Oleh Azidan Nahar

LEDANG: Orang ramai tersentuh melihat seorang bapa memangku dan memeluk mayat anaknya hampir sejam selepas mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Sengkang-Bukit Gambir, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, Mohd Izwan Farid Hashim, 19, dari Kampung Batu 19, Sengkang, dekat sini, meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan Perodua Kelisa.

Bapa mangsa, Hashim Kamat, 55, yang dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan bergegas ke tempat kejadian sebelum terus memangku anaknya sehinggalah dibawa ke Hospital Tangkak.

Hashim berkata, ketika kejadian menghadiri gotong-royong majlis perkahwinan anak saudaranya di Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir sebelum menerima panggilan telefon daripada anak ketujuhnya, Hamizad, 16.

"Saya sangat terkejut kerana kami baru saja bertemu satu jam lalu di rumah sebelum saya pergi ke Kampung Parit Jarum Darat. Malah pada hari kejadian arwah tidak bekerja dan sempat membantu memberi makanan kepada lembu peliharaan," katanya.

Hashim berkata, Mohd Izwan tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik dan beliau berasa sedih kerana kejadian itu berlaku hanya kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Katanya, Mohd Izwan juga tidak memaklumkan untuk keluar rumah pada malam kejadian dan kemungkinan anak lelakinya itu hendak bertemu rakannya di pekan Bukit Gambir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal daripada arah Sengkang menghala Bukit Gambir cuba memotong kenderaan lain namun gagal sebelum dirempuh Perodua Kelisa.

SUMBER: BERITA MINGGU, 03 JUN 2012

Tiada ulasan: