TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 Jun 2012

SK KESANG DAPAT KEMUDAHAN PADANG BARU

ABDUL Ghani Othman membetulkan tali leher seorang murid sambil diperhatikan Masitah Adenan (kiri) pada Program Jalinan Mesra dan Perasmian Bangunan Baru SK Kesang, di Ledang, Johor, semalam. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD 
 
LEDANG 29 Jun - Sebidang tanah seluas 1.6 hektar berharga RM500,000 akan dijadikan padang baru untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang, dekat sini, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, tanah yang dikenal pasti itu adalah kawasan kampung di belakang sekolah berkenaan dan pegawai pendidikan daerah sudah bertemu Kementerian Pelajaran untuk urusan pembelian tanah tersebut.

"Kos untuk membuat padang pula adalah sebanyak RM300,000. Penyelesaian ini diambil kerana padang sekarang ini kecil dan tidak mampu lagi menampung aktiviti sedia ada," katanya ketika merasmikan Program Jalinan Mesra dan Perasmian Bangunan Baru SK Kesang, di sini hari ini.

Turut hadir, Guru Besar SK Kesang, Masitah Adenan dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kesang, Mahfiz Rusli.

Sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1923 itu adalah antara yang tertua di Ledang dan Muar dan mempunyai banyak jasa termasuk melahirkan beberapa tokoh akademik. 

Kemudahan padangnya kini menjadi terlalu sempit kerana sebahagian besar diambil untuk projek membesarkan Jalan Muar-Melaka di hadapannya.

Sementara itu, Masitah berkata, bangunan baru dengan dua blok yang dirasmikan Abdul Ghani itu menelan belanja kira-kira RM6.2 juta dan antaranya menempatkan lapan bilik darjah, pejabat pentadbiran, bilik guru dan bilik pendidikan seni dan visual.

Menyentuh mengenai padang sekolah tersebut, katanya, padang yang lama dahulunya menjadi tumpuan masyarakat setempat bermain bola dan beriadah pada sebelah petang itu tidak lagi dapat digunakan sejak 2005.

"Selain padang baru yang mendesak, SK Kesang juga memerlukan sebuah dewan baru untuk pelajar-pelajarnya menjalankan aktiviti," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 JUN 2012

Tiada ulasan: