PENGUNJUNG SETIA

16 Jun 2012

MINTA BONGGOL JALAN PINTAS

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Penduduk Kesang Tasek, di sini, meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) membina segera bonggol jalan utama kampung itu selepas laluan itu dilihat menjadi jalan kebanyakan kenderaan berat pintas ke Sungai Rambai, Melaka dan sebaliknya.

Ketua kampung berkenaan, Abd Rahman Khamis berkata, bonggol itu penting kerana sebahagian besar pemandu kenderaan berat seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan orang ramai apabila memecut ketika melalui jalan itu.

"Sebelum ini, ada empat bonggol dibina sejak 1999, tetapi ia dibuang sebulan lalu nasihat polis selepas didapati ia melanggar peraturan.

"Bagaimanapun, apa dikesalkan, tiada langkah susulan diambil bagi membina bonggol baru," katanya, semalam.

Menurut Rahman, jika bonggol yang ada sebelum ini tidak menepati piawaian, penduduk berharap JKR melakukan sesuatu yang boleh mengurangkan kelajuan kenderaan berat yang menggunakan jalan berkenaan.

"Saya pernah lihat bonggol dibina menggunakan batu-bata di jalan raya agak sama seperti ini di Batu Pahat.

"Jika perkara sama dapat dilakukan di sini, tentu ia dapat memperlahankan kelajuan kenderaan berat seterusnya mengurangkan risiko kemalangan," katanya.

Menurut Rahman, laluan sejauh kira-kira tiga kilometer yang bersambung dengan laluan ke Sungai Rambai itu sebenarnya adalah jalan kampung yang dibina sejak 1990-an lagi.

Katanya, kampung itu dihuni kira-kira 600 penduduk, ada dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah dengan anggaran pelajar melebihi 400 orang di sini.

"Sebagai ibu bapa, kami bimbang dengan keselamatan anak terutama pada waktu puncak. Kami risau jika pemandu kenderaan berat terus memecut di laluan berkenaan," katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Tumijah Tamuri, 53, berkata, dia sudah berniaga di tepi laluan berkenaan sejak empat tahun lalu dan sejak kebelakangan ini, jalan terbabit semakin sibuk dengan kenderaan berat.

Katanya, kenderaan berat seperti lori pasir mula melalui jalan itu seawal jam 7 pagi untuk ke tempat kerja dari kedua-dua arah dan pada sebelah petang, ia bermula pada jam 5.

"Ketika ada bonggol sebelum ini, pemandu tidak memandu laju, namun selepas bonggol di buang, mereka semakin bermaharajalela.

"Kami turut bimbang kerana jentera berat juga menggunakan laluan ini, mereka memandu laju tanpa menghiraukan keselamatan penduduk terutama murid serta pelajar sekolah," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 16 JUN 2012

Tiada ulasan: