TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

15 Jun 2012

SULTAN JOHOR MURKA TERHADAP NIZAR

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima teks ucapan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Nusajaya, Johor Bahru, semalam.
 
NUSAJAYA 14 Jun - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka terhadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kenyataan beliau yang mengkritik secara terang-terangan bidaan RM520,000 oleh baginda untuk mendapatkan nombor pendaftaran WWW 1.

Walaupun tidak menyebut secara langsung nama Mohammad Nizar, namun 'pemimpin politik' yang disebutkan dalam titah baginda jelas merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Perak itu yang disifatkan baginda sebagai 'lupa mengenai adab Melayu serta jahil dan cetek akal' kerana bidaan tersebut dibuat mengikut prosedur yang betul.

"Janganlah cuba berlagak pandai jika tidak berilmu dan janganlah mengeluarkan kenyataan sesuka hati jika tidak tahu perkara sebenar. Bukankah berdiam itu lebih baik daripada berkata yang tidak baik?
Kepada pemimpin seperti ini, nasihat saya 'janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain, sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati'.

"Tindakan yang saya buat adalah mengikut cara dan jalan yang betul dan setiap kebajikan yang saya buat juga tidak perlu diperbesarkan. Tindakan pemimpin ini bukan sahaja mendatangkan kemurkaan kepada saya tetapi juga satu penghinaan kepada rakyat dan kedaulatan negeri Johor. 

"Saya harap dia sedar siapa diri dia dan kesilapan yang telah dibuat. Jika dia hendak minta maaf, mintalah maaf kepada semua rakyat Johor, bukan kepada saya seorang sahaja. Pepatah Melayu sering mengingatkan 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-12, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat yang menyokong dan menyembah ikrar taat setia untuk menjaga kedaulatan raja dan negeri ini. 

Titah baginda, perpaduan rakyat perlu dikekalkan kerana ia adalah asas kepada kewujudan negara dan kemajuan yang diperoleh, ketika ada sesetengah pihak yang mahukan perpecahan berlaku demi kepentingan politik sempit.

"Mereka sanggup menabur fitnah dan menghasut rakyat untuk membenci raja serta membangkitkan isu-isu sensitif kaum dan agama dengan tujuan untuk menimbulkan kebencian dan menghancurkan keamanan dan kemakmuran negara kita. 

"Namun begitu, saya percaya rakyat Johor bukanlah masyarakat yang mudah terpedaya dengan tipu helah 'musang berbulu ayam' ini," titah baginda.

Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang pada sidang akhbar di lobi Parlimen pada 12 Jun lalu, memohon maaf kepada Sultan Johor dan rakyat negeri ini namun tetap mempertahankan pendiriannya dengan dakwaan kenyataan di dalam akaun laman Twitter miliknya sebagai disalah tafsir media.

Beliau ketika itu turut menyatakan kesediaan menghadap Sultan Ibrahim untuk memberi penerangan berkaitan laporan media tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 JUN 2012

Tiada ulasan: