TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

03 Jun 2012

BAPA PANGKU ANAK KALI TERAKHIR

LEDANG 2 Jun - Seorang bapa sempat memangku dan memeluk tubuh kaku anak lelakinya selama satu jam selepas terlibat dalam kemalangan sebelum dihantar ke bilik mayat di Hospital Tangkak di sini malam tadi.

Hashim Kamat, 55, tidak dapat melupakan saat akhir menatap wajah anaknya, Mohd. Izwan Farid, 19, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Sengkang-Bukit Gambir dekat sini pada pukul 9.50 malam.

Dia mengetahui kejadian malang itu apabila menerima panggilan daripada anak ketujuhnya, Hamizad, 16, mengatakan arwah terlibat dalam kemalangan.

Semasa menerima panggilan tersebut dia berada di Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya.

"Saya amat terkejut kerana kami baru sahaja bertemu sejam sebelum itu di rumah sebelum saya pergi ke rumah kenduri. Sebelum kemalangan, arwah tidak pula menunjukkan sebarang perlakuan pelik.

"Apa yang menyedihkan, kejadian berlaku hanya tiga kilometer dari rumah kami di Kampung Batu 19, Sengkang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, mangsa menunggang motosikal dari arah Sengkang ke Bukit Gambir dan dipercayai cuba memotong kenderaan lain.

"Bagaimanapun, dia gagal menyebabkan motosikalnya memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Kelisa. Akibatnya, mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan manakala motosikalnya berkecai.

"Pemandu kereta Kelisa hanya mengalami cedera ringan di muka akibat terkena serpihan kaca cermin rempuhan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau meminta saksi kejadian supaya tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 03 JUN 2012

Tiada ulasan: