TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

09 Jun 2012

MENTERI BESAR TERNYATA KECEWA

ABDUL Ghani Othman (kiri) diiringi oleh Hamim Samuri (dua dari kiri) melawat tapak pameran sebuah farmasi sempena Karnival Mini Pemakanan Sihat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 8 Jun - Kempen Gaya Hidup Sihat yang diperkenalkan sejak 12 tahun lalu di negeri ini disifatkan gagal mencapai matlamat kerana bilangan penghidap sakit berbahaya masih lagi tinggi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, perkembangan itu menimbulkan tanda tanya sedangkan panduan pengambilan makanan dalam kempen tersebut amat berkesan jika diamalkan.

"Program ini tidak berjalan lancar sejak 12 tahun lalu dan tidak tahu kenapa. Serentak dengan kempen itu kita lancarkan senaman J-Robik di peringkat negeri dengan tujuan yang sama.

"Ini semua untuk membantu rakyat menghindari penyakit dan mengamalkan gaya hidup sihat," katanya berucap merasmikan Karnival Mini Pemakanan Sihat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan; Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee; ADUN Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat; Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin dan Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Johor, Abdul Rahman Salleh.

Abdul Ghani berkata, masyarakat perlu sedar bahawa tabiat pemakanan mereka ketika ini yang makan secara berlebihan boleh memudarat dan menyebabkan penyakit berbahaya.

Justeru, beliau berharap melalui kempen tersebut kesedaran dapat dilahirkan kerana majoriti masyarakat negara ini amat mewah dengan pelbagai makanan.

"Kita minta program seumpama ini diterus dan ditambah lagi pada masa depan di peringkat daerah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan setempat," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, sasaran program tersebut ialah masyarakat setempat bagi membolehkan mereka memberi perhatian terhadap kesihatan, sekali gus melahirkan generasi sihat, cergas dan bebas penyakit.

Katanya, kempen yang bukan sahaja diadakan di Muar, Labis, Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Pagoh itu menyediakan ruang pameran, forum, ceramah kesihatan, pertandingan kesihatan dan sebagainya bagi melahirkan golongan celik kesihatan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 JUN 2012

Tiada ulasan: