TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

26 Jun 2012

JALAN SAGIL PERLU DIPERBAIKI

TAMPALAN di permukaan jalan pekan Sagil, Tangkak yang tidak rata dan sering rosak menyebabkan ketidakselesaan serta tidak selamat kepada para pengguna. 
 
MASALAH jalan yang rosak, terutamanya di pekan Sagil, Tangkak di Ledang bukan masalah baru kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama dan hingga kini masih tidak dapat diatasi.

Walaupun keluhan mengenainya sudah banyak kali disuarakan, namun jalan di pekan ini yang difahamkan di bawah penyelenggaraan Majlis Daerah Tangkak (MDT) masih terbiar.

Keadaannya kini semakin teruk, selain berlubang, ada bahagian jalan yang ditampal, tetapi tidak rata selain pecah dan menggerutu.

Kira-kira dua bulan lalu, pihak bertanggungjawab ada menampal lubang-lubang di laluan tersebut yang menghubungkan Segamat dan Muar, tetapi tidak sampai sebulan, ia rosak semula.

Pekan Sagil dianggap antara laluan penting kerana lima kilometer dari situ terdapat destinasi pelancongan utama di Ledang iaitu pusat rekreasi dan air terjun Gunung Ledang dan kira-kira 20 kilometer lagi terletaknya kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat.

Perkembangan ini amat memalukan kerana hampir tiga kilometer di sepanjang jalan dari pekan Sagil ke pusat rekreasi itu dapat dilihat dengan jelas kerosakan dan ia secara tidak langsung membahayakan pengguna serta mencemar imej negeri ini.

Ini kerana pusat rekreasi tersebut menjadi tumpuan pelancong dari dalam serta luar negara dan untuk sampai ke situ sekiranya datang dari arah Muar atau keluar dari Plaza Tol Tangkak, perlu melalui jalan tersebut.

Begitu juga bagi mereka yang ingin ke UiTM Segamat, jika datang melalui lebuh raya tersebut harus menempuhi jalan yang sama melainkan jika datang dari arah Segamat.

Justeru, diharapkan pihak terbabit supaya segera membaiki jalan di pekan Sagil bukan sahaja kerana ia kerap menjadi tempat persinggahan pelancong untuk ke Gunung Ledang atau UiTM tetapi juga untuk keselesaan penduduk tempatan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 JUN 2012

Tiada ulasan: