TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

14 Jun 2012

KARNIVAL PUPUK PERPADUAN PENDUDUK

SEBAHAGIAN orang ramai yang menghadiri Program Karnival Sukan Rakyat 2012 di Felda Seri Ledang, Pagoh, baru-baru ini. 
 
PAGOH 13 Jun - Orang bandar yang datang ke mana-mana kawasan Felda biasanya menikmati rasa kedamaian desa dengan suasana tenang tanpa hiruk-pikuk metropolitan.

Namun, tidak terdetik di hati mereka bahawa penduduk tanah rancangan itu juga sekali-sekala memerlukan hiburan sekeluarga apatah lagi dalam kalangan belia.

Perkara itu yang menjadi perhatian Kelab Sukan dan Kebajikan Sri Ledang bersama UMNO Cawangan Sri Ledang Utara dengan menganjurkan Karnival Sukan Rakyat buat julung kalinya di Felda Sri Ledang.

Ia bagi memberi peluang kepada aktiviti bersosial melalui acara sukan di padang awal tanah rancangan tersebut.

Pengerusi penganjur, Datuk Zaaba Aman berkata, karnival yang mendapat tajaan Tenaga Nasional Bhd. dan UMW Toyota itu merupakan susulan daripada beberapa acara sukan yang pernah dianjurkan di sini, sebelum ini seperti sepak takraw, bola sepak dan sukan-sukan lain.

"Karnival ini diadakan bukan sahaja untuk berseronok, tetapi bagi memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk melalui pertandingan dan aktiviti bersama yang dilakukan. 

"Selain itu, pelbagai gerai jualan dan pameran melibatkan agensi kerajaan dan swasta membolehkan penduduk Felda Sri Ledang dan Felda berhampiran mengetahui lebih dekat program dan kemudahan yang ada," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di karnival tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyempurnakan perasmian karnival itu bersempena dengan aktiviti turun padang beliau selama sehari di Pagoh sejurus selepas menunaikan solat Zuhur berjemaah dan jamuan bersama jemaah di Masjid al-Muhajirin, tidak jauh dari lokasi karnival.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat dan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh merasmikan Surau Raudhatul Jannah Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sri Lanang di Felda Sri Jaya, Bukit Serampang, di sini yang disumbangkan Koperasi Guru-Guru Malaysia Barat.

PELATIH PLKN Kem Seri Ledang turut menyertai Karnival Sukan Rakyat 2012 di Felda Seri Ledang, Pagoh. 
 
Muhyiddin dalam ucapannya memuji penganjuran karnival sedemikian sebagai salah satu cara memupuk kerjasama dan perpaduan melalui acara sukan tradisional yang dipertandingkan dan menyifatkan ia selari dengan hasrat kerajaan mempromosi aktiviti sosial yang sihat.

Dalam pada itu, Zaaba berkata, karnival itu mendapat sambutan baik penduduk kerana turut melibatkan penyertaan mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Sri Ledang dan penuntut Institut Latihan Perindustrian Ledang.

"Kita menyediakan 15 acara iaitu pertandingan sepak takraw, futsal, badminton dan acara lain, termasuk sukan tradisi seperti lari dalam guni dan tarik tali serta program khas untuk golongan suri rumah seperti anyam ketupat, memasak dan gubahan bunga hidup.

"Tidak ketinggalan pertandingan mewarna bagi anak-anak Felda yang masih bersekolah agar mereka tidak berasa ketinggalan dalam kemeriahan sambutan ini," katanya.

Tambah beliau, pengunjung yang membeli tiket berharga RM2 layak mendapat pelbagai hadiah menerusi cabutan nombor bertuah termasuk sebuah motosikal Modenas Kriss bernilai RM3,500.

"Insya-Allah kita akan mengadakan karnival sama tahun depan berdasarkan sambutan baik penduduk setempat dan Felda sekitarnya bagi membawa keceriaan dan aktiviti untuk golongan muda," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 JUN 2012

Tiada ulasan: