PENGUNJUNG SETIA

15 Jun 2012

RM3,600 LESAP SEKELIP MATA

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: "Wang yang dicuri itu dikumpul sejak dua bulan lalu untuk dihantar kepada keluarga di kampung. Malangnya, ia lesap sekelip mata," kata Ye Htut Aung, 28, di sini, semalam.

Lelaki warga Myanmar itu kerugian RM3,600 selepas rumah sewa dihuni bersama rakan di Parit Karang Laut, Kesang dimasuki pencuri antara jam 2 petang hingga 6 petang, kelmarin.

Ye berkata, sebelum kejadian, dia bersama seorang lagi rakan serumah yang dikenali sebagai Zaw, keluar bekerja di sebuah kilang berdekatan pada jam 1.40 tengah hari.

"Seperti biasa, kami pastikan rumah dan bilik dikunci sebelum keluar. Bagaimanapun, sejurus pulang kerja pada jam 7 petang, kami dapati rumah berselerak.

"Penjenayah menyelongkar semua bilik dan melarikan wang tunai, telefon bimbit serta komputer riba yang baru dibeli," katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati.

Menurut Ye, sejak dua tahun bekerja di negara ini, itu kali pertama rumah sewanya dipecah masuk.

Apa yang lebih menyedihkan Ye ialah wang tunai yang dikumpul itu adalah untuk kegunaan keluarganya di Myanmar.

"Sudah menjadi kebiasaan untuk saya menunggu gaji akhir bulan sebelum dihantar kepada keluarga. Gaji bulanan saya tidak banyak dan saya terpaksa mengikat perut bagi memastikan sebahagian daripadanya dapat dihantar ke kampung.

"Sepatutnya saya menghantar wang itu bersama wang gaji pada akhir bulan ini, saya tidak tahu bagaimana untuk memberitahu keluarga berkaitan kejadian," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.

"Kami sudah merekodkan keterangan daripada mangsa dan siasatan masih berjalan," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 JUN 2012

Tiada ulasan: