TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

17 September 2012

100 PETANI TERIMA RM1j MENERUSI AZAM TANI

Hamim Samuri (empat dari kiri) melihat peralatan pertanian yang diterima oleh para petani dan pekebun kecil pada Majlis Penyampaian Bantuan Azam Tani 2012 di Bukit Gambir, Ledang, baru-baru ini. 
LEDANG 16 Sept. - Jabatan Veterinar negeri menerima peruntukan sebanyak RM1 juta untuk disalurkan kepada 100 petani dan penternak di bawah Program Azam Tani tahun ini.

Pengarahnya, Dr. Kamaruddin Md. Isa berkata, dana itu disalurkan dalam bentuk peralatan dan benih ternakan bagi merangsang dan menggalakkan lebih ramai masyarakat berpendapatan rendah menceburi bidang pertanian atau penternakan untuk menambah pendapatan.

"Usaha ini juga diharapkan dapat meningkatkan hasil makanan di Johor yang kini merupakan pengeluar makanan terbesar berasaskan ternakan dan dilihat peranan itu mampu diperluaskan lagi.

"Kita banyak mengeluarkan hasil ternakan seperti ayam, lembu, kambing dan telur ayam yang sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam negara. Sebagai contoh, ternakan ayam telah menyumbang kepada pengeluaran sebanyak 300 peratus bekalan dalam negara termasuk untuk dieksport ke luar negara," katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Azam Tani 2012 di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan Penolong Pegawai Daerah, Shamsul Arif Sulaiman.

Pada majlis itu, Jabatan Veterinar negeri menyampaikan bantuan kepada 30 penerima yang diberikan peralatan antaranya motosikal roda tiga, pam racun, benih ternakan lembu serta kambing dan beberapa mesin.

Kamaruddin berkata, di bawah projek Jabatan Veterinar negeri pihaknya turut memperuntukkan tanah seluas 3,000 hektar untuk memajukan sektor ternakan dengan cara mempelbagaikan jenis haiwan ternakan.

Selain itu, katanya, negeri itu juga amat berhati-hati apabila menerima ternakan dari luar dan haiwan berkenaan akan menjalani proses pemeriksaan terlebih dahulu untuk memastikan ia bebas penyakit bagi mengelakkan ternakan sedia ada tidak dijangkiti penyakit.

Sementara itu, Hamim mengingatkan para penternak bersyukur kerana terpilih menerima bantuan tersebut dan memanfaatkannya sebagai peluang meningkatkan taraf hidup masing-masing.

"Ini kerana setiap permohonan akan melalui proses tapisan oleh Pejabat Daerah Ledang selepas dipilih pemimpin setempat dan wakil rakyat. Mereka yang terpilih berdasarkan kelayakan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak mengamalkan pilih kasih dalam memberikan bantuan termasuk mereka yang mempunyai ideologi politik berlainan kerana perkara paling penting ialah membantu petani atau penternak.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 17 SEPTEMBER 2012

Tiada ulasan: