PENGUNJUNG SETIA

22 September 2012

GABUNG LEDANG BANTAH NGEH



 Ahli Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (GABUNG) Daerah Ledang mengadakan perhimpunan aman di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang dekat Tangkak membantah kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.



LEDANG: Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (GABUNG) Daerah Ledang membuat laporan polis terhadap tindakan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham kerana mempersoalkan tindakan umat Islam membantah filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Laporan dibuat oleh Pengerusinya, Norizan Mahat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang jam 4 petang semalam yang turut disertai sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit.

Antara ahli GABUNG daerah ini yang terlibat ialah Persatuan Bekas Polis Malaysia; Persatuan Bekas Tentera Malaysia; Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Johor; Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA).

NGO lain termasuk Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia Negeri Johor; Pertubuhan Tiga Enam Tiga; Persatuan Silat PAKSI dan Persatuan Peniaga-peniaga Kemboja Ledang.

Norizan berkata, pihaknya menganggap Koo Ham tidak sensitif apabila menyifatkan bantahan terhadap filem itu hanya membuang masa dan tenaga sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

Katanya, Ahli Parlimen Beruas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan itu perlu berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama kaum lain kerana ia boleh menimbulkan kontroversi kaum.

“Sebagai negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, Koo Ham tidak sewajarnya mengeluarkan kata-kata yang menyinggung umat Islam yang ketika ini membantah filem menghina Nabi Muhammad SAW.

“Selaku wakil rakyat, beliau sepatutnya lebih peka dengan tidak menyentuh sensitiviti kaum lain malah mengajak ke arah perpaduan bagi mengelakkan negara daripada kacau bilau,” katanya selepas membuat laporan polis dan mengadakan demonstrasi aman di perkarangan IPD Ledang dekat Tangkak.

Dalam perhimpunan aman selama 10 minit itu, kira-kira 30 ahli turut membawa sepanduk antaranya bertulis “DAP Jangan Campur Tangan Urusan Agama Islam” dan “Ngeh Koo Ham Jangan Biadap Ini Bukan Negara Komunis” sambil melaungkan takbir.

Ditanya mengenai permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan oleh Koo Ham, Norizan berkata, meminta maaf memang mudah tetapi ia perlu dipastikan agar perkara yang sama tidak berulang pada masa akan datang sama ada dilakukan oleh pemimpin yang sama mahupun pihak lain.

“Bak kata pepatah, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Jadi untuk mengeluarkan kata-kata yang menyentuh agama atau budaya sesuatu kaum perlu berfikir jauh terlebih dahulu mengenai kesannya.

“Semua pihak perlu menghormati agama dan budaya yang dianuti oleh pelbagai kaum di negara ini dengan tidak menyentuh perkara yang sensitif sehingga menimbulkan kemarahan penganutnya,” katanya.

Menurutnya, GABUNG Daerah Ledang turut mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan dan penyiaran filem anti-Islam yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW kerana membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.