PENGUNJUNG SETIA

06 September 2012

NGO MAHU KDN TEGAS

BANTAH...wakil 14 NGO daerah Ledang mengadakan perhimpunan aman selepas
membuat laporan di IPD Ledang semalam.

“Jalur Gemilang akan terus menjadi bendera negara ini dan kami akan melawan jika ada pihak cuba menukarnya” - Abdeel Rahim S Garieb

Oleh Hai Rozzaman Jalal
metrojb@yahoo.com

LEDANG: Seramai 80 individu mewakili 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini mengadakan perhimpunan aman di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang semalam, bagi membantah tindakan biadab peserta Janji Bersih yang sanggup menghina dan memijak gambar pemimpin negara serta Jalur Gemilang.

Sebelum itu, wakil NGO berkenaan membuat laporan polis mengecam perbuatan biadab berkenaan dan mahu tindakan tegas diambil terhadap individu bertanggungjawab bagi mengelak perkara sama berulang pada masa depan.

NGO itu membabitkan Gabungan NGO Melayu Negeri Johor Daerah Ledang; Persatuan Bekas Polis Malaysia; Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM); Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Johor; Gerakan Belia 4B Ledang; Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Turut serta Pertubuhan Seni Silat SendengMalaysiaNegeri Johor; Majlis BeliaDaerah Ledang; Gerakan Belia 4B Zon Sagil; Persatuan Belia Kesang Tasek; Pertubuhan Tiga Enam Tiga; Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang dan Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Kesang Tasek.

Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas PolisMalaysia Daerah Ledang, Huzahim Zaaba berkata, pihaknya mengecam tindakan biadab peserta perhimpunan itu dan mahu Kementerian Dalam Negeri
(KDN) mengambil tindakan tegas melalui proses undang-undang.

“Kami membantah sekeras-kerasnya perbuatan tidak bermoral itu sekali gus menunjukkan sifat tidak bertamadun pelakunya,” katanya.

Bagi Ahli Jawatankuasa Perkasa Daerah Ledang, Basri Siron, tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap pihak terbabit supaya tidak berulang pada masa depan.

“Kami tidak setuju tindakan pembangkang yang mahu menukar Jalur Gemilang dan akan terus mempertahankan kedaulatan Jalur Gemilang,” katanya.

Wakil MAYC Kawasan Ledang, Abdel Rahim S Garieb turut menyokong dan berikrar yang pihaknya akan mempertahankan Jalur Gemilang dan tidak akan sekali-kali membenarkan ia ditukar.

“Jalur Gemilang akan terus menjadi bendera negara ini dan kami akan melawan jika ada pihak cuba menukarnya,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO,  06 SEPTEMBER 2012

Tiada ulasan: