TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

20 September 2012

JERITAN JIRAN SELAMAT WARGA EMAS

Wartawan Sinar Harian

Anggota bomba berjaya mengawal keseluruhan kebakaran rumah sepasang warga emas di Kampung Dato’ Ngah
Anggota bomba berjaya mengawal keseluruhan kebakaran rumah sepasang warga emas di Kampung Dato’ Ngah, Batu 20 Sengkang, Bukit Gambir di sini, kelmarin.
 
LEDANG – Jeritan jiran telah menyelamatkan sepasang warga emas daripada menjadi mangsa kebakaran dalam kejadian di Kampung Dato’ Ngah, Batu 20 Sengkang, Bukit Gambir di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu disedari jiran mangsa apabila terlihat kepulan asap berserta api keluar dari bilik bahagian tengah rumah Bakar Mustapha, 85, dan Salimah Samin, 76.

Salimah berkata, ketika kejadian dia bersama suami sedang berehat di ruang beranda rumah, namun menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan jiran mengatakan rumahnya terbakar.

Menurutnya, walaupun terkejut melihat  api  marak membakar bahagian tengah rumah, dia  sempat memasuki bahagian hadapan rumah untuk   mematikan suis utama.

“Saya sempat halang suami yang cuba memasuki rumah untuk memadamkan api sebelum menyelamatkan diri ke kawasan kebun kelapa sawit di hadapan rumah.

“Semua barang-barang, pakaian termasuk dokumen penting hangus terbakar kerana api marak terlalu cepat,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia sedih kerana melihat sendiri rumah yang didudukinya sejak 37 tahun itu musnah terbakar dalam masa kurang 15 minit.

“Anak saudara yang turut sama menyedari kejadian itu bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir yang tiba kira-kira lima minit kemudian untuk memadamkan kebakaran.

“Berikutan kejadian ini, saya mengalami kerugian RM60,000 dan buat masa ini tinggal sementara di rumah anak saudara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Shazarul Afidz Hairudin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.42 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bersama 12 anggota.

“Kami tiba di lokasi kejadian kurang dari lima minit, tetapi rumah berkenaan sudah terbakar sebanyak 60 peratus.

“Struktur rumah papan ini menyebabkan api marak terlalu cepat, namun kami berjaya mengawal keseluruhan kebakaran pada jam 7.30 malam,” katanya  yang turut menjelaskan punca kebakaran masih dalam siasatan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 20 SEPTEMBER 2012

Tiada ulasan: