TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

19 September 2012

RAIH RM25,000 SEBULAN


LEDANG: Bermula daripada menjual roti dan kek secara kecil-kecilan di rumahnya di Kesang Laut di sini, suri rumah, Hartijah Kesot, 45, kini mampu meluaskan perniagaannya dengan membuka kedai di Kompleks Pasar Tani Kekal Fama, Bukit Gambir di sini, sejak empat tahun lalu.

Hartijah atau lebih dikenali sebagai Kak Jah, kini bangga apabila memiliki Puncak Citra Kasih iaitu Kedai Roti dan Kek yang memasarkan produknya ke Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Lebih membanggakan, dia kini memperoleh pendapatan hingga RM25,000 sebulan, sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarganya.

Kak Jah berkata, antara roti dan kek digemari pelanggan termasuk roti naik, roti Perancis dan bahulu.

Menurutnya, berikutan sambutan menggalakkan dia memperkenalkan kek lapis sejak dua tahun lalu dan tidak menyangka ia mendapat sambutan menggalakkan.

"Biasanya kek lapis hanya popular di Sarawak, namun kini mendapat sambutan menggalakkan pelanggan.

"Walaupun baru dua tahun menjadi pengeluar kek lapis, kami menerima permintaan luar biasa daripada pengusaha restoran, kedai runcit dan gerai makanan yang berminat mendapatkan bekalan kek itu.

"Selain itu, kami menerima permintaan daripada pembekal yang mengedarkannya ke restoran di Kuala Lumpur, Kota Bharu, Melaka, Negeri Sembilan, Batu Pahat dan Johor Bahru," katanya ketika dite mui di gerainya di Bukit Gambir di sini, kelmarin.

Kak Jah berkata, dia mengikuti kursus membuat kek lapis tiga hari anjuran Fama di Sarawak, pada 2009 sebelum menjadikan kek lapis produk terbaru bagi melariskan perniagaannya yang sudah dikenali di Ledang.

SUMBER: HARIAN METRO, 19 SEPTEMBER 2012

Tiada ulasan: