PENGUNJUNG SETIA

21 September 2012

'PEMBURU' DITAHAN

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Polis menahan tiga lelaki kerana memiliki selaras senapang buatan sendiri serta empat parang dalam sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Tangkak, di sini, jam 3.30 pagi, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 22, 24, dan 25 tahun berasal dari Tangkak serta Jasin, Melaka itu dipercayai dalam perjalanan dari Muar ke Melaka untuk berburu.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui satu bebola besi dipercayai peluru senapang angin berkenaan.

"Suspek menaiki pacuan empat roda ketika ditahan. Siasatan awal mendapati senapang angin itu dihasilkan sendiri suspek untuk kegunaan peribadi manakala kenderaan itu milik kakak seorang daripada mereka," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki terbabit kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Dalam perkembangan lain, IPD Ledang berjaya menyelesaikan enam kes jenayah selepas menahan dua lelaki berusia 40 tahun di pekan Bukit Gambir, 12 September lalu.

Harun berkata, dua lelaki itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ketika ditahan turut memiliki 10 batang besi pembinaan dipercayai dicuri.

"Hasil semakan seorang daripada suspek memiliki rekod kesalahan lampau iaitu enam kes jenayah dan tiga kes berkaitan dadah.

"Rakan suspek pula memiliki lima rekod jenayah dan dua rekod dadah selain termasuk dalam senarai individu dikehendaki polis," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 21 SEPTEMBER 2012

Tiada ulasan: