PENGUNJUNG SETIA

16 Julai 2008

ENAM SENATOR ANGKAT SUMPAH HARI INI

Enam senator angkat sumpah hari ini

ENAM senator baru yang mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara di sini, hari ini iaitu (dari kiri) Datuk Abdul Rahman Bakar, J Usha Nandhini, Tan Sri Tee Hock Seng, Datuk Chandrasekar Suppiah, Ahamat @ Ahamad Yusop dan Datuk Ahmad Rusli Iberahim.

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Abdul Rahman Bakar dan Ketua Puteri MIC, J Usha Nandhini adalah antara enam senator baru yang mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara di sini, hari ini.

Empat yang lain ialah Tan Sri Tee Hock Seng, Datuk Chandrasekar Suppiah, Datuk Ahmad Rusli Iberahim dan Ahamat @ Ahamad Yusop.

Upacara itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh dan disaksikan oleh anggota Dewan Negara yang lain.

Pelantikan mereka yang berkuatkuasa hari ini adalah untuk tempoh satu penggal.

Abdul Rahman, 56, adalah bekas Ahli Parlimen Marang, Terengganu dan juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1983 dan Ijazah Kedoktoran Kehormat Pentadbiran Perniagaan (CDBA) dari The Oxford Association of Management Oxford, England pada 2006.

Beliau pernah berkhidmat sebagai guru pada 1984 hingga 1986, sebelum aktif dalam politik.

Dalam kerjaya politiknya beliau pernah menewaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dua kali pada pilihan raya umum 1986 dan 2004.

Usha, 36, yang berkelulusan Sarjana Muda Antropologi, Sosiologi dan Sejarah dari Universiti Malaya kini berkhidmat sebagai seorang pensyarah di Kolej CQ-Tec.

Beliau mulai menceburi politik sejak 1990.

Tee, 59, ialah Pengerusi MCA Bahagian Cheras dan Penasihat Eksekutif kepada Jawatankuasa Perhubungan MCA, Wilayah Persekutuan. Beliau juga aktif dalam beberapa persatuan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) kaum Cina.

Chandrasekar, 46, adalah seorang ahli korporat dan antara jawatan yang pernah dipegang beliau dalam MIC ialah pengerusi MIC Bahagian Bandar Tun Razak dan timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan.

Ahmad Rusli, 50, pula Naib Presiden Majlis Jaksa Pendamai Negeri Kelantan, manakala Ahamat, 62, bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor dan Ketua Umno cawangan Kesang Tasek, Bahagian Ledang. - Bernama

Sumber: Berita Harian 15 JULAI 2008

Tiada ulasan: