PENGUNJUNG SETIA

01 Julai 2008

TAK KUASAI JAWI PUNCA GAGAL BACA AL-QURAN

Selatan: Tak kuasai jawi punca gagal baca al-Quran

PENGHARGAAN: A SAMAD (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Yaakob (kanan) sempena majlis perasmian mesyuarat agung Badan Kebajikan Sekolah Agama Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang, kelmarin.

MUAR: Penguasaan tulisan jawi yang semakin pudar di kalangan generasi muda, menyebabkan ramai antara mereka yang tidak dapat membaca ayat suci al-Quran dengan betul.

Penyelia Pendidikan Agama Daerah, Yaakob Sulaiman, berkata keadaan itu seterusnya menjejaskan bacaan ketika menunaikan solat sekali gus menyebabkan solat tidak sah dari segi hukum syarak.

Sehubungan itu, beliau berkata, menjadi tanggungjawab ibu bapa dan guru memastikan murid di sekolah agama masing-masing dapat menguasai tulisan jawi dan membaca kitab serta al-Quran dengan lancar.

“Anak-anak ini harus digalakkan menyertai Program Memperkasakan tulisan Jawi, dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan tulisan itu di kalangan masyarakat Islam, khususnya generasi muda.

“Langkah itu penting kerana hanya mereka yang mahir menulis dan membaca Jawi dapat membaca al-Quran dengan lancar sekali gus memahami hukum tajwid,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Badan Kebajikan Sekolah Agama Parit Kassan, Bukit Gambir, Ledang, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Badan Kebajikan sekolah itu, A Samad Buang; Naib Pengerusinya, Rozaini Abd Hamid; Ketua Kampung, Mohd Hamzah Basar dan Guru Besar, Azahari Hosnan.

Selain itu, Yaakob berkata, Badan Kebajikan yang ditubuhkan di setiap sekolah agama di negeri ini sejak 28 tahun lalu, bertujuan meningkatkan kerjasama ibu bapa dan guru terhadap kecemerlangan dan kejayaan murid serta pelajar di sekolah agama.

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa perlu menyalurkan idea berguna untuk membantu guru dan pihak sekolah memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada murid dalam usaha membentuk insan cemerlang dalam pendidikan agama pada masa depan.


Sumber: Berita Harian, 01 Julai 2008

Tiada ulasan: