PENGUNJUNG SETIA

30 Jun 2008

LEDANG PESAT MEMBANGUN

Ledang pesat membangun

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

LEDANG 29 Jun - Tarikh 9 Jun 2008 merupakan hari bersejarah buat lebih 132,000 penduduk Tangkak apabila daerah kecil tersebut diisytiharkan sebagai daerah penuh yang kesembilan di Johor oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail.

DAERAH Ledang yang semakin berkembang maju dengan deretan kedai-kedai moden dilengkapi jalan raya untuk kemudahan dan keselesaan penduduknya.
- Gambar SUFFIAN ABU BAKAR

Pengisytiharan daerah Ledang itu yang diwartakan pada 29 Mac tahun lalu telah disempurnakan Sultan Johor di Dataran Ledang Tangkak di sini dengan disaksikan ribuan penduduk pada satu majlis penuh bersejarah yang gilang gemilang.

Ledang yang mengambil nama sempena sebuah gunung di dalam daerah itu sebelum ini, merupakan sebuah daerah kecil yang bergabung dalam daerah Muar mempunyai keluasan kira-kira 97,024 hektar terletak bersempadan dengan Sungai Muar di bahagian selatan dan Sungai Kesang di utara.

Berikutan keluasan kawasannya, kerajaan negeri menggerakkan usaha untuk mewujudkan satu pentadbiran sendiri di daerah tersebut supaya kerja-kerja pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih mudah dan dekat.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman ketika mengumumkan langkah menaik taraf Ledang dan Kulai menjadi sebuah daerah penuh tahun lalu berkata, pentadbiran daerah itu akan dapat diperkemaskan dan kesan pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat secara menyeluruh sekiranya kedua-dua daerah itu dinaik taraf.

"Selain itu, masalah-masalah yang dikemukakan oleh rakyat setempat akan dapat diatasi dengan lebih cekap dan cepat serta ditangani dengan mesra," kata beliau.

Dengan jumlah penduduk sebanyak 132,778 orang dalam keluasan 97,024 hektar, majlis pengisytiharan Ledang sebagai daerah baru berlangsung baru-baru ini dan turut dihadiri sebahagian besar kerabat diraja Johor.

Turut berangkat pada majlis itu, Sultanah Johor, Sultanah Zanariah Tunku Ahmad; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dan isterinya, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris serta Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Selain itu, Menteri Besar Johor dan isteri, Datin Paduka Prof. Dr. Jamilah Ariffin dan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri turut hadir pada majlis pengisytiharan tersebut.

Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abdul Kadir ketika ditemui selepas majlis pengisytiharan itu berkata, sebagai sebuah daerah baru, cabaran yang bakal dihadapi juga amat besar untuk membangunkan kawasan tersebut supaya ia dapat bersaing dengan lapan daerah lain.

"Persaingan yang dimaksudkan ialah kita mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada ratusan ribu penduduk di daerah ini supaya mereka berasa bertuah kerana sejak sekian lama, Tangkak yang dulunya daerah kecil kini bertaraf sebuah daerah penuh.

"Pelbagai projek pembangunan sedang dirancang oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf hidup rakyat sama ada di bandar atau di luar bandar dan antaranya ialah pembinaan jalan-jalan baru, membangunkan peluang perniagaan serta pelancongan yang terdapat di sini," katanya.

Beliau berkata, daerah ini dilihat mempunyai potensi yang cukup besar untuk melakar pembangunan yang lebih mampan pada masa hadapan.

Daerah yang terbentuk melalui enam mukim ini, katanya, secara geografinya sudah menampakkan satu paparan yang tersusun untuk disuntik dengan pembangunan yang lebih rapi.

"Kedudukan Ledang di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru adalah satu lokasi strategik yang membolehkan ia menjadi bandar satelit.

"Atas usaha itu, lebih banyak kemudahan akan disediakan untuk keperluan masyarakat termasuk 22 jabatan dan agensi kerajaan serta 15 buah agensi lain yang akan dibangunkan di sebuah pusat pentadbiran yang terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Tangkak tidak lama lagi," jelasnya.

Ledang juga, kata Asmail, turut terkenal dengan pusat jualan kain dan pelbagai jenis tekstil serta pelancongan Gunung Ledang yang menggamit kehadiran ramai pengunjung dalam dan luar negara.

Sumber: Utusan Malaysia, 30 JUN 2008

Tiada ulasan: