PENGUNJUNG SETIA

06 Jun 2008

RUMAH TERBIAR JADI LOKASI PENGGAMBARAN FILEM SERAM GENTAYANGAN

Rumah terbiar jadi lokasi penggambaran filem seram Gentayangan


RUMAH lama yang sudah 15 tahun tidak diduduki menjadi lokasi penggambaran filem Gentayangan di Serom Panggung, Muar, semalam.
MUAR 5 Jun - Sebanyak 65 tenaga produksi filem bercorak aksi, misteri dan seram, Gentayangan mengadakan penggambaran selama enam hari di sebuah rumah di Serom Panggung dekat sini baru-baru ini.

Filem pertama terbitan syarikat Secondlife Picture Sdn. Bhd. itu yang diarahkan oleh Zulkiflee M. Osman turut dibintangi 24 pelakon terkenal antaranya Rusdi Ramli, Nasir Bilal Khan, Yasmin Hani dan Hasnol Rahmat.

Selain Muar, penggambaran filem Gentayangan yang menelan belanja kira-kira RM2.5 juta itu turut dilakukan di sekitar Melaka dan ibu negara.

Penerbit eksekutif bersama filem tersebut, Rashdan Baba yang juga pelakon dalam filem itu berkata, penggambaran filem berkenaan dilakukan di sebuah rumah yang sudah 15 tahun tidak berpenghuni di Serom Panggung.

"Pemilihan rumah itu yang berunsur tradisional dan menggerunkan dibuat kerana banyak babak-babak utama dan menarik dalam filem ini akan dilakukan di situ.

"Antara babak yang akan dirakamkan di rumah itu ialah pertarungan kuasa jahat yang penuh dengan aksi dramatik dan mendebarkan," katanya ketika ditemui semasa penggambaran filem itu yang bermula baru-baru ini.

Katanya, Gentayangan yang bermaksud terawang-awang merupakan filem yang digarap hasil karya Shariman Wahab mengisahkan empat pelajar sebuah institusi pengajian tinggi yang merancang untuk bercuti di kampung masing-masing selepas tamat peperiksaan akhir.

Keempat-empat pelajar terbabit iaitu Risham, Kaher, Rahila dan Sabrina lakonan Rusdi, Hasnol, Yasmin dan Lana Nordin bercuti di destinasi pertama iaitu kampung Risham dan bermula dari situ, mereka telah menemui pelbagai rahsia yang tersimpan sejak sekian lama.

Menurut Rashdan, pelbagai peristiwa misteri dan seram yang dilalui keempat-empat pelajar itu akhirnya membawa kepada sejarah penggunaan ilmu hitam oleh Alang Jali lakonan Nasir Bilal Khan yang cuba dihalang oleh Tok Borhan lakonan Abu Bakar Omar yang membesarkan Risham selama ini.

Selain empat pelakon utama, Gentayangan turut dibintangi beberapa pelakon terkenal seperti Afida Es, Kuswadinata, Rozita Che Wan, Yang Kassim serta penampilan istimewa Tan Sri Jins Shamsuddin.

Apa yang membezakan filem terbaru itu ialah ia menggabungkan teknik Imej Penjanaan Komputer (CGI) yang bernilai RM750,000 serta lagak aksi ngeri oleh pasukan MRS Stunt di bawah kendalian Mohd. Razib Salimin.

"Seramai 14 tenaga lagak aksi ngeri digunakan dalam filem ini dan kita turut menggunakan kaedah CGI yang bernilai RM1.2 juta hasil idea pereka tempatan, Jefri Salleh.

"Pada masa yang sama, Gentayangan juga dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan segala isi kandungannya tidak menyimpang daripada landasan agama," jelasnya.

Rashdan berkata, filem itu diterbitkan oleh seorang usahawan, Datuk Dr. Zubir Yahya yang kini bergiat dalam bidang perniagaan berasaskan telekomunikasi bergerak dan dijadual

Beliau juga yakin dengan kemampuan pengarah Zulkiflee M. Osman yang telah mengarah 12 buah filem sebelum ini bagi memastikan filem itu mampu menarik peminat tempatan dan ia juga dijangka ditayangkan di luar negara apabila siap kelak.

Sumber: Utusan Malaysia 6 JUN 2008

Tiada ulasan: