PENGUNJUNG SETIA

10 Jun 2008

JOHOR SEDIA BINCANG AMBIL ALIH RUMAH API PULAU PISANG

Johor sedia bincang ambil alih rumah api Pulau Pisang

LEDANG 9 Jun - Kerajaan Johor bersedia mengadakan rundingan dengan pihak Singapura dalam usaha mengambil alih keseluruhan pentadbiran dan pengurusan rumah api di Pulau Pisang, Pontian.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pada masa yang sama beliau yakin Pulau Pisang tidak akan menjadi seperti Batu Putih kerana hak kedaulatan dan dokumen mengenai hak milik pulau itu membuktikan ia milik kerajaan Johor sepenuhnya.

Menurutnya, Pulau Pisang didaftarkan atas hak milik Johor dan segala dokumen hitam putih mengenai hak itu masih disimpan di Pejabat Daerah Pontian.

"Sekiranya Kerajaan Persekutuan bercadang untuk menguruskan rumah api di situ (Pulau Pisang), kerajaan negeri akan melihat cadangan tersebut supaya satu rundingan (dengan Singapura) dapat dijalankan.

"Perkara ini bagaimanapun memerlukan persetujuan semua pihak, lebih-lebih lagi kebenaran (untuk mewujudkan rumah api) itu dibuat oleh Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim pada tahun 1900," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pengisytiharan daerah kecil Tangkak sebagai daerah penuh Ledang oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail di Dataran Ledang di sini hari ini.

Abdul Ghani mengulas gesaan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan agar Malaysia segera memulakan usaha mengambil alih keseluruhan pentadbiran dan pengurusan rumah api di Pulau Pisang daripada pihak Singapura.

Ahmad berkata demikian ketika mengetuai delegasi seramai 60 orang daripada pelbagai agensi kerajaan, UMNO dan media massa melawat pulau terbabit seluas 446 ekar (178.4 hektar) yang terletak kira-kira 8 kilometer di luar perairan Pontian.

Rumah api Pulau Pisang setinggi 53 meter yang kini diuruskan kakitangan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura terletak kira-kira 1,000 meter dari paras laut.

Walaupun Pulau Pisang terletak dalam wilayah Malaysia tetapi rumah apinya ditadbir oleh Singapura menerusi perjanjian antara Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim dengan Kerajaan British pada tahun 1900.

Berikutan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menetapkan Singapura mempunyai kedaulatan terhadap Batu Putih, terdapat kebimbangan bahawa Pulau Pisang yang turut menempatkan rumah api yang dikendalikan Singapura, bakal menerima nasib yang sama.

Pulau Pisang juga terletak di kedudukan yang amat strategik iaitu di bahagian selatan laluan perkapalan Selat Melaka yang sibuk.

Menurut Abdul Ghani, kerajaan negeri yakin pulau tersebut sahih dimiliki tanahnya oleh Johor kerana perjanjian yang dibuat pada tahun 1900 itu masih diguna pakai.

"Lokasi pulau yang tidak sampai satu ekar itu telah diberi kebenaran untuk diwujudkan rumah api dan sebuah jeti untuk kemudahan mendarat dan laluan pekerja rumah api dari jeti.

"Setiap dua minggu, mereka (pekerja rumah api) perlu melaporkan diri dan pasukan pekerja yang terdiri daripada tiga orang perlu berbuat demikian," jelas beliau.

Sumber: Utusan Malaysia 10 Jun 2008

Tiada ulasan: