PENGUNJUNG SETIA

29 Jun 2008

KUASAI PELBAGAI BAHASA - MB

Kuasai pelbagai bahasa - MB

MUAR 28 Jun - Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menggesa semua pelajar supaya menguasai pelbagai bahasa terutama Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk berjaya dalam pembelajaran pelbagai mata pelajaran termasuk Sains dan Matematik.Menurutnya, dalam usaha kerajaan menerapkan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah, peranan bahasa lain termasuk Bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan malah amat perlu dikuasai.

Katanya, kepentingan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa perantaraan di seluruh dunia juga perlu terus dikuasai di samping menguasai bahasa lain supaya ia menjadi kelebihan kepada mereka.

"Kita tidak menafikan kepentingan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris namun para pelajar juga diharap dapat menguasai pelbagai ilmu dan bahasa lain termasuk Bahasa Melayu yang diajar kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Jubli Perak Sekolah Menengah Sains Muar, Tanjung Agas, di sini malam tadi.

Sambutan ulang tahun ke-25 sekolah itu turut dihadiri lebih 1,000 pelajar sekolah terbabit, pemimpin-pemimpin masyarakat serta pengetua kanan sekolah itu, Samian Sawiyo.

Abdul Ghani dalam pada itu berharap Sekolah Menengah Sains Muar yang tergolong antara 10 sekolah berasrama penuh terbaik di seluruh negara dalam mencatat keputusan peperiksaan umum supaya meneruskan kecemerlangannya melahirkan pelajar yang berkualiti.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut menyampaikan anugerah kepada 10 kakitangan sekolah berkenaan yang berkhidmat selama 25 tahun di sekolah itu dan mengumumkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM500,000 bagi menaik taraf pelbagai kemudahan sekolah.

Sumber: Utusan Malaysia 29 JUN 2008

Tiada ulasan: