PENGUNJUNG SETIA

20 Jun 2008

BADAN KEBAJIKAN MAIN PERANAN PENTING SEKOLAH

Badan kebajikan main peranan penting sekolah

Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Parit Kassan, A Samad Buang (kiri) sedang menyampaikan cenderahati kepada Penyelia Pendidikan Agama Daerah Muar, Ustaz Yaakob Sulaiman.

LEDANG 19 Jun - Badan Kebajikan yang diwujudkan di sekolah-sekolah agama dapat membantu pihak sekolah menyampaikan ilmu kepada anak-anak bagi melahirkan insan yang cemerlang dalam semua aspek.

Penyelia Pendidikan Agama Daerah Muar, Yaakob Sulaiman berkata, sejak ditubuhkan pada 1984, peranan yang dimainkan oleh badan itu amat penting dalam membantu pihak sekolah seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) di sekolah kebangsaan.

Menurutnya, badan kebajikan dapat membantu mempercepatkan permohonan kemudahan infrastruktur di sekolah agama demi keselesaan para murid untuk belajar.

"Melalui badan kebajikan ini, ibu bapa boleh menyuarakan pendapat dan pandangan dalam mesyuarat agung untuk diberi perhatian oleh pihak sekolah.

"Tugas badan kebajikan ini juga untuk membela agama Allah supaya ia dapat disampaikan kepada anak-anak di samping bekerjasama dengan pihak sekolah dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan agama," katanya.

Beliau yang mewakili Pegawai Pendidikan Agama Daerah Muar berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Sekolah Agama Parit Kassan ke-13 di dewan sekolah agama itu di Bukit Gambir di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi badan kebajikan sekolah itu, A. Samad Buang dan Naib Pengerusinya, Rozaini Abd. Hamid serta Guru Besar, Azhari Hosnan.

Pada majlis itu, Yaakob turut mengucapkan tahniah kepada lebih 50 murid yang menerima anugerah kecemerlangan dalam peperiksaan yang diduduki tahun lalu.

Menurutnya, kejayaan seseorang murid itu akan menjadi contoh dan perangsang kepada murid lain untuk berusaha dengan lebih gigih.

"Bidang keagamaan juga amat penting dipelajari kerana ia bukan sahaja menjadi pedoman hidup di dunia, malah akan menjadi panduan di akhirat kelak," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 20 JUN 2008

Tiada ulasan: