PENGUNJUNG SETIA

28 Jun 2008

ISMAIL TEKAD BANTU BELIA BERJAYA

Ismail tekad bantu belia berjaya

MUAR 27 Jun - Gigih berusaha tanpa mengenal erti penat dan jemu mendorong kejayaan Ismail Mohamed, 37, yang baru-baru ini dianugerahkan Tokoh Belia Johor pada Perhimpunan Hari Belia 2008 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing pada 14 Jun lalu.

Sumbangannya dalam melaksanakan pelbagai aktiviti golongan belia termasuk dalam bidang keusahawanan, kebudayaan, sukan dan pembangunan modal insan melayakkan beliau terpilih memenangi anugerah tersebut.

Anugerah yang diterimanya itu, sedikitpun tidak menjadikan anak muda ini berhenti daripada terus menabur bakti kepada golongan belia malah ia terus menjadi pendorong untuk melaksanakan pelbagai program dalam memastikan kaum belia sentiasa aktif.

"Saya akan terus melatih usahawan muda di kalangan golongan belia Melayu untuk bergiat aktif dalam perniagaan, agar mereka bukan sahaja mampu menjadi belia yang berketerampilan, malah berjaya membuktikan mereka dapat menyumbang kejayaan negara.

"Prinsip yang dipegang sejak sekian lama ialah mereka perlu ikhlas dan jujur dalam melaksanakan apa jua tugas dan tidak salah jika kejayaan itu bermula dari bawah," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ismail yang merupakan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh dilahirkan di Kampung Temiang di sini merupakan penerima anugerah itu yang disampaikan wakil Menteri Besar, Ahmad Zahri Jamil yang juga ahli Exco Kerajaan negeri pada Perhimpunan Belia 2008 di Mersing, baru-baru ini.

Bapa kepada lima orang anak itu turut bergiat dalam beberapa pertubuhan termasuk menjadi Setiausaha Kelak Sukan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak, Penolong Setiausaha Basikal Dalam Gelanggang kebangsaan dan Pengerusi Persatuan Belia Warisan Temiang.

Ini merupakan anugerah kedua yang diterimanya kerana pada tahun 2006 lalu, Ismail turut dianugerahkan Tokoh Belia Keusahawanan negeri Johor.

"Saya tidak menjangka akan menerima anugerah kali kedua ini, dan pengiktirafan itu akan terus memberi semangat kepada saya untuk berbakti kepada golongan belia," katanya yang turut menceburi bidang perniagaan dengan membuka syarikat kontraktor JYBB Sdn. Bhd. bersama seorang rakan kongsi.

Selain itu, Ismail juga merupakan Pengarah Urusan sebuah syarikat Pertama Technology Sdn. Bhd. yang beroperasi di Parit Kassan, Bukit Gambir, dekat sini.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, untuk berjaya, seseorang itu tidak perlu malu untuk bermula dari bawah.

Sumber: Utusan Malaysia, 28 JUN 2008

Tiada ulasan: