PENGUNJUNG SETIA

11 Jun 2008

BERSAMA MAJUKAN LEDANG

Bersama majukan Ledang

Sultan Johor sedang menandatangani plak perasmian Daerah Ledang sambil disaksikan oleh Menteri Besar Johor di Dataran Ledang, Tangkak.

Oleh suffian abu bakar

LEDANG 10 Jun - Penduduk daerah kecil Tangkak yang dinaik taraf sebagai daerah penuh Ledang perlu bekerjasama dengan kerajaan supaya kawasan itu dapat dimajukan.

Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail bertitah, selain berperanan sebagai daerah baru, Ledang selama ini terkenal dengan pelbagai tarikan pelancongan iaitu pusat membeli belah kain dan tekstil serta keunikkan Gunung Ledang sebagai lokasi pendakian pencinta alam.

Daerah kecil Tangkak yang mempunyai lebih 132,000 penduduk semalam dinaik taraf sebagai daerah penuh kesembilan di Johor.

Majlis pengisytiharan daerah itu oleh Sultan Johor berlangsung di Dataran Ledang di sini, dihadiri lebih 1,000 jemputan dan berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang sebaik sahaja Sultan Iskandar berkenan mengumumkannya tepat pukul 12.10 tengah hari.

Baginda bertitah, pengisytiharan daerah Ledang itu perlu dimanfaatkan oleh kerajaan negeri dan rakyat supaya ia menjadi sebuah daerah yang maju dan berkembang pesat seperti daerah lain di negeri ini.

"Saya berharap kerajaan negeri akan melaksanakan tugas mereka dengan adil, jujur dan amanah supaya pembangunan di daerah baru ini terus berkembang,'' titah baginda pada majlis tersebut.

Turut berangkat Sultanah Johor, Sultanah Zanariah Tunku Ahmad; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dan isterinya, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris serta Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Datin Paduka Prof. Dr. Jamilah Ariffin dan Mufti Johor, Datuk Nooh Gadut serta pemimpin-pemimpin kerajaan negeri turut hadir pada majlis tersebut.

Daerah Ledang yang berkeluasan kira-kira 97,024 hektar terletak bersempadan dengan Sungai Muar di bahagian selatan dan Sungai Kesang di utara dan bersebelahan dengan Melaka.

Ia mempunyai enam mukim iaitu Tangkak, Kundang Teluk Rimba, Kesang, Serom, Gersik dan Bukit Serampang yang diberi nama Ledang sempena Gunung Ledang yang mempunyai pelbagai keistimewaan dari segi sejarah, legenda, alam semulajadi dan hasil bumi.

Pusat pentadbiran baru daerah itu yang akan diwujudkan di sebuah kawasan seluas 138 hektar bakal memuatkan semua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Pegawai Daerah Ledang ialah Asmail Abdul Kadir.

Sumber: Utusan Malaysia 10 Jun 2008

Tiada ulasan: