PENGUNJUNG SETIA

15 Jun 2008

JOHOR CADANG BINA STADIUM DI LEDANG

Johor cadang bina stadium di Ledang

LEDANG 14 Jun - Sebuah stadium akan dibina di daerah ini untuk memudahkan penduduk setempat mengadakan pelbagai kegiatan sukan dan rekreasi.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, stadium itu dijangka diwujudkan di tapak seluas kira-kira lapan hektar di Payamas, dekat sini tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, cadangan tersebut masih di peringkat awal dan berharap ia bakal menjadi kenyataan kerana daerah berkenaan masih belum mempunyai sebuah stadium.

"Pelbagai kegiatan sukan termasuk bola sepak dan rekreasi boleh dijalankan di situ nanti, malah Ledang mampu menganjurkan pertandingan bola sepak bertaraf daerah dengan penyertaan banyak pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Pertandingan Wau serta Layang-Layang sempena program Inforia Kenegaraan di Dewan Bestari Kampung Padang Lerek 2 di sini semalam.

Majlis anjuran Jabatan Penerangan dengan kerjasama Komuniti Bestari Daerah Ledang itu turut dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri serta Pegawai Penerangan daerah, Zaid Md. Amin.

Abdul Ghani bagaimanapun tidak menyatakan kos pembinaan stadium itu dan bila ia akan dimulakan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri meminta rakyat bersabar dan tidak bertindak mengikut emosi berikutan kenaikan harga minyak yang berlaku dalam negara yang turut mengakibatkan peningkatan harga barangan lain.

Menurutnya, kenaikan harga minyak adalah masalah yang dihadapi di seluruh dunia berikutan kekurangan bekalan bahan api tersebut, selain keadaan negara-negara pengeluar yang tidak stabil seperti di Asia Barat.

"Kenaikan harga minyak juga tidak dapat dielakkan kerana negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, China dan India yang mempunyai penduduk ramai semakin pesat menggunakan bahan api itu menyebabkan bekalan semakin berkurangan.

"Penduduk Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan kenaikan itu dan apa yang boleh dilakukan ialah kita perlu bijak menangani masalah ini dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada petroleum kerana harganya diramalkan akan terus meningkat," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 15 JUN 2008

Tiada ulasan: