PENGUNJUNG SETIA

02 Jun 2008

KELAB AL-ANSOR DIMINTA LAKSANA TUGAS SUKARELA

Kelab Al-Ansor diminta laksana tugas sukarela

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


Abdul Ghani Othman (dua kanan) menyampaikan bantuan kepada kanak-kanak pada majlis pelancaran Kelab Al-Ansor Parlimen Ledang di Dataran Bestari Sagil Kampung Ledang, Tangkak dekat Muar, kelmarin.



MUAR 1 Jun - Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menggesa Kelab Al-Ansar yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) supaya melaksanakan tugas-tugas khidmat masyarakat dan sukarelawan bagi membantu semua kaum di negeri itu.

Menurut beliau, Kelab Ansar yang ditubuhkan selepas negeri itu dilanda banjir besar pada penghujung tahun 2006 adalah satu usaha kerajaan negeri mewujudkan badan sukarelawan di kalangan generasi muda untuk membantu secara beramal.

Katanya, langkah MAINJ menubuhkan Kelab Al-Ansar di setiap kawasan Parlimen amat digalakkan kerana ia mampu melahirkan insan mulia dan pengisian modal insan yang sempurna seperti yang disarankan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya menyeru setiap ahli Kelab Ansar supaya terus menjalankan kerja-kerja amal mereka bukan sahaja membantu mangsa bencana, malah setiap penduduk di sesebuah kawasan sebagai aktiviti kemasyarakatan.

"Pada masa yang sama, Kelab Al-Ansar yang dianggotai murid-murid sekolah agama ini mampu membentuk peribadi mulia generasi muda di negeri ini, untuk menjadi prihatin dan cemerlang dalam menuntut ilmu pengetahuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kelab Al-Ansor peringkat Parlimen Ledang di Dataran Bestari, Kampung Sagil Parit 3, Tangkak dekat sini semalam.

Turut hadir, Pengarah MAINJ, Datuk Zalil Baron; Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abdul Kadir.

Kelab Al-Ansor ditubuhkan di setiap Parlimen kini mempunyai lebih 10,000 orang ahli iaitu 9,444 murid sekolah agama dan 1,064 murid sekolah menengah agama di seluruh Johor.

Di Parlimen Ledang, seramai 700 murid dari 36 buah sekolah agama di kawasan itu menghadiri majlis pelancaran dengan kehadiran seramai 200 guru pengiring.

Menurut Abdul Ghani, khidmat masyarakat yang disumbangkan oleh ahli Kelab Al-Ansor itu tidak terbatas kepada bantuan kemanusiaan dan gotong royong, malah mereka mampu menjadi contoh seperti mana-mana pertubuhan amal yang lain.

"Sekiranya ketika bencana banjir dahulu, kita dapati banyak bantuan disalurkan oleh pertubuhan termasuk persatuan-persatuan agama lain, saya berharap Kelab Al-Ansor dapat menjadi contoh generasi muda Islam yang turut membantu mangsa musibah," jelasnya.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut menyampaikan bantuan kepada sembilan penerima MAINJ termasuk bantuan sara hidup, bantuan perubatan, bantuan berdikari dan bantuan bagi menjelaskan hutang penduduk terpilih di kawasan Parlimen Muar dan Ledang.

Sumber: Utusan Malaysia Johor 2 Jun 2008  (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: