Khidmat stesen NGV wajar diperluas
Oleh Hamim Samuri
Buka peluang kepada syarikat lain dapat elak pengguna bergantung kepada Petronas
NGV atau Gas Asli Kenderaan masih tidak berkembang di negara ini sedangkan rizab gas asli boleh bertahan selama 39 tahun dan Petronas mempunyai kemudahan saluran paip gas menerusi Loji Pemprosesan Gas (GPP) dari Kertih ke Segamat dan ke Changlun, Kedah sepanjang 2,600 kilometer.
Perkhidmatan pembekalan gas asli dimonopoli Petronas. Bekalan gas asli hanya disediakan kepada anak syarikat Petronas iaitu Petronas Gas Berhad untuk syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP), Gas Malaysia Sdn Bhd untuk Industri serta rumah atau pangsapuri dan Petronas Dagangan Berhad untuk NGV.
Sekiranya NGV berkembang, ia mungkin menjejaskan jualan petrol dan diesel Petronas Dagangan (lebih 880 stesen minyak). Perniagaan tunjang Petronas Dagangan ialah petrol dan diesel, manakala NGV diwujudkan atas arahan kerajaan pada 1996 bagi menjaga alam sekitar.
Petronas menyatakan tiada bekalan gas asli walaupun untuk satu stesen bergerak disebabkan bekalan terhad dan sudah diguna pakai atas kontrak yang dipersetujui 15 tahun dulu.
Pengeluaran melalui saluran GPP adalah 2060 juta standard kaki padu sehari. Pengeluaran melalui Kawasan Pembangunan Usaha Sama Malaysia � Thailand) sebanyak 495 juta standard kaki padu sehari.
Jumlah keseluruhan adalah lebih 2.5 bilion standard kaki padu sehari. IPP menggunakan 65 peratus daripada keseluruhan jumlah itu, manakala selebihnya dijual kepada Loji Petronas, Gas Malaysia dan lebih kurang 450 juta standard kaki padu sehari dijual kepada Singapura (syarikat Janakuasa Sonako /Keppel pada kadar AS$7 MMBtu (Unit Thermal British), data dari akaun beraudit Petronas Gas 2006 dan 'World Gas Intelligence' keluaran 6 Februari 2008.
Mengikut data Petronas (Pengeluaran Gas Asli dan Lebihan 2004 - 2010 di Semenanjung Malaysia) wujud lebihan pengeluaran gas asli di dalam negara. Data itu menunjukkan bahawa gas asli mempunyai lebihan sebanyak 147 juta standard kaki padu sehari yang boleh menampung kira-kira tiga juta pengguna atau 2,000 stesen NGV seluruh negara.
Gas asli memang mahal kira-kira AS$12 MMBtu di pasaran global dan Malaysia adalah pembekal NGV kerana tiada negara luar yang melaksanakan projek ini. Ini menyebabkan Petronas terpaksa menanggung subsidi pada kadar RM2.
Untuk 2007 saja, jumlah subsidi ditanggung Petronas ialah RM143 juta. Malah sejak 1997 hingga kini, subsidi yang ditanggung berjumlah RM450 juta.
Mengikut laporan 'World Gas Intelligence' keluaran Februari lalu, harga pasaran gas asli adalah sekitar AS$7-AS$10 MMBtu mengikut keadaan cuaca. Petronas pula sudah menandatangani perjanjian dengan Sonako Pte Ltd iaitu sebuah syarikat IPP Singapura pada kadar AS$7 MMBtu.
Apakah relevannya dakwaan gas asli adalah AS$12 MMBtu? Gas asli seperti mengorek perigi di belakang rumah dan dijual ke luar seperti gas cecair asli (LNG) di Bintulu dengan kerugian disebabkan oleh kos penghantaran yang mahal (penyediaan kapal) sedangkan pasaran tempatan tidak dipedulikan.
Apakah rakyat Malaysia tiada hak ke atas gas asli milik negara. Walaupun harga NGV pada paras RM0.68 seliter dan Petronas menanggung subsidi, Petronas harus membuat tawaran kepada syarikat milik Bumiputera yang berminat untuk mengendalikan stesen NGV.
Masalah seperti kos binaan, lokasi tanah berhampiran dengan saluran paip gas tidak strategik, liputan saluran paip gas yang kurang, tanah di stesen yang sedia ada kecil dan kadar elektrik yang rendah boleh diatasi dengan kaedah seperti berikut:
Kos pembinaan akan menjadi murah sekiranya dibuat secara serentak. Katakan 100 stesen dan jangkamasa 10 bulan. Seperti di Brazil dan Argentina, kos pembinaan cuma sekitar RM800,000 disebabkan pembinaan secara pasang siap dan struktur besi dibuat secara mudah.
Kos Petronas mahal kerana ia dicampur aduk dengan dispensor petrol dan diesel, kedai mesra dan kos lain yang tidak berkaitan seperti auto-servis dan lain-lain termasuk sub-stesen TNB (disebabkan guna kompresor teknologi rendah).
Ini ditambah dengan kedai makan seperti Mc Donald/Burger King dan standard mengikut cita rasa korporat. Sekiranya dibuat hanya untuk 'stesen NGV 8 pam' yang baru, kos adalah sekitar RM1.5 juta iaitu merangkumi 'compressor hydraulic, 8 dispensor (RM500,000) dan kerja pembinaan (RM1 juta).
Tanah tiada masalah sekiranya menggunakan konsep 'emak anak'. Daripada stesen 'ibu' diangkut dengan 'Lori Jumbo Tube' ke stesen 'anak' yang berada dalam lingkungan 150 kilometer. Dengan kaedah ini, lokasi tiada masalah dan stesen NGV boleh sampai kepada rakyat di luar bandar.
Kos permulaan agak mahal tetapi jangkamasa panjang amat efektif berbanding saluran paip gas dengan kos anggaran RM1 juta untuk satu kilometer. Selepas tiga tahun perniagaan, barulah dibina saluran paip gas ke lokasi.
Pembinaan saluran paip gas dimonopoli anak syarikat Petronas iaitu Gas Malaysian Sdn Bhd. Gas Malaysia mengutamakan sektor industri kerana dapat mengaut keuntungan yang banyak berbanding NGV. Sekiranya Petronas memberi persetujuan untuk membekal gas kepada syarikat lain, Suruhanjaya Tenaga bersedia untuk memberi satu lagi lesen pengendali.
Harga peralatan NGV akan menjadi murah sekiranya kita dapat bekerjasama dengan kilang luar untuk membina kilang di Malaysia dan akan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan. Ini akan menjadi hab pengeluaran peralatan NGV seperti balang gas dan kit.
Sirim Malaysia sudah membuka peluang kepada syarikat Bumiputera untuk menerokai bidang pembuatan komposit silinder berteraskan separuh fiber. Kita adalah negara yang boleh menjadi hab kerana teknologi NGV sudah lebih 50 tahun di pasaran dunia dan mempunyai lebih 10 juta pengguna.
Kos operasi akan sama seperti mengendalikan petrol dan diesel sekiranya stesen 8 pam NGV diwujudkan kerana 'segmen pasaran baru' seperti lori dan bas, sekali gus penggunaan NGV akan berlipat kali ganda jika dibandingkan dengan kereta biasa. Sekiranya jualan meningkat, maka kos operasi akan mengecil.
Pada zaman ini, semua pengendali stesen minyak berlumba-lumba untuk membuat stesen bersaiz besar. Ruang untuk NGV seperti tong simpanan boleh diletakkan di atas bumbung berbanding tangki minyak yang perlu dikorek dan ditanam di dalam tanah.
Mengikut kajian kami dan bil elektrik yang ada di stesen NGV Petronas, sebenarnya kos elektrik cuma RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, bergantung kepada saiz. Jadi, tidak logik dengan wujudnya kompresor untuk menempatkan gas asli menggunakan elektrik akan mencecah RM16,000 seperti didakwa Petronas, dan ia bersamaan dengan kilang seperti industri pembuatan.
Syarikat Malaysian NGV Sdn Bhd amat berminat melebarkan perkhidmatan jualan NGV ke seluruh negara dengan perancangan mengadakan prasarana stesen NGV untuk mencapai pengguna NGV sejuta kenderaan persendirian dan 500,000 lori dan bas pada 2014.
Kami mengadakan jadual kerja lima tahun untuk melaksanakan 1,000 stesen NGV dengan lapan dispensor untuk kenderaan persendirian dan empat dispensor untuk lori dan bas, 500 stesen NGV bergerak, mewujudkan 10,000 peluang perniagaan NGV dan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan.
Sekiranya projek ini dilaksanakan dan mendapat sambutan orang ramai dengan sasaran sejuta kereta persendirian dan setengah juta lori dan bas, kerajaan akan dapat berjimat RM8.25 bilion setahun, manakala pengguna akan berjimat sebanyak RM25 bilion setahun pada kadar harga pasaran global NGV pada paras RM1.50 seliter.
Penulis ialah Pengerusi Malaysian NGV Sdn Bhd dan Ahli Parlimen Ledang.
Sumber: Berita Harian 23 Jun 2008
2 ulasan:
salam 1 Malaysia..saya nak bagi cadangan agar wujudkan stesen NGV di Segamat juga. saya sebagai pengguna NGV amat sukar untuk menggunakannya di area sini. bahkan bas Transnasional Segamat - K.L, Segamat - Seremban pun guna NGV..jauh pulak nak kena pegi isi tangki.kan lebih baik ada 1 stesen atau lebih kat sini memandangkan ramai penggunanya..
Salam,
Syarikat saya bersedia untuk membuka beberapa stesen ngv untuk kawasan muar - segamat. adakah sesiapa yang berminat untuk menjualkan tapak / tanah bagi merealilasikan projek tersebut?..
tkasih
Catat Ulasan