Bengkel tulisan Jawi berkesan bantu pelajar
MUAR 17 Jun - Seramai 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sagil dekat sini yang bakal menduduki peperiksaan penting tidak lama lagi mengikuti bengkel sistem ejaan Jawi baru berdasarkan piawaian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sekolah itu baru-baru ini.
Kesemua pelajar tersebut ialah dari tingkatan tiga dan lima mengikuti bengkel yang dianjurkan oleh sebuah syarikat swasta, Semarak Jawi Sdn. Bhd., dengan pendekatan yang berkesan sesuai dengan tahap sasarannya.
Bengkel itu diadakan bagi memudahkan para pelajar berkenaan menjawab soalan mata pelajaran Pendidikan Islam dalam tulisan Jawi.
Pengarah Urusan Semarak Jawi, Mohamad M. Said berkata, bengkel selama tiga jam itu dikendalikan oleh penceramah pakar tulisan Jawi dari Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Nasir Arshad.
''Sepanjang bengkel itu, para pelajar didedahkan dengan teknik menjawikan ejaan rumi mengikut sistem ejaan Jawi baru yang ditetapkan oleh DBP.
''Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan penggunaan huruf alif, kata pinjaman bahasa Inggeris dan Arab serta teknik menjawab kertas soalan Pendidikan Islam yang memperuntukkan 10 markah,'' katanya.
Menurutnya, bengkel sedemikian amat bersesuaian untuk membantu golongan pelajar sekolah menengah kerana sukar bagi mereka menjawab soalan mata pelajaran Pengajian Islam sekiranya gagal menguasai ejaan Jawi baru itu.
Tambah Mohamad, syarikatnya yang berpejabat di Jalan Payamas, Tangkak dekat sini telah mengadakan hampir 250 bengkel Jawi di sekolah-sekolah di seluruh negara.
''Selain mengadakan bengkel ejaan Jawi, syarikat ini juga mencetak dan menerbitkan buku Pintar
Jawi iaitu bahan bacaan yang diilhamkan oleh beberapa pakar tulisan Jawi yang ternama, diketuai oleh Pak Matlob.
''Buku ini telah diuji di beberapa buah sekolah di seluruh negara dan hasilnya amat memuaskan.
''Sebagai contoh, projek perintis di Sepang, Selangor yang membolehkan 73 murid sekolah agama tahap satu yang tidak pandai membaca dan menulis berjaya menguasai Jawi dalam tempoh enam hari,'' jelasnya.
Ekoran kejayaan itu, kata Mohamad, banyak sekolah yang memohon supaya bengkel sehari itu turut dibukakan kepada golongan guru.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bengkel penulisan Jawi itu boleh menghubungi Mohamad di talian 06-9791754 atau 012-7176444.
Sumber: Utusan Malaysia 18 JUN 2008
Collaboration request
7 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan