PENGUNJUNG SETIA

21 Julai 2008

TAMAN LEDANG MACAM KOLAM

Selatan: Taman Ledang macam kolam

Oleh Zalifah Mohd Yatim

TERJEJAS: Kursiah mencuci lantai di hadapan rumah selepas rumahnya dilanda banjir kilat, kelmarin.

Air lambat surut apabila hujan lebat berpunca daripada perparitan tersumbat

TANGKAK: "Saya tidak lena tidur setiap kali hujan pada waktu malam kerana bimbang rumah dilanda banjir ketika saya sekeluarga tidur," kata Kurisah Ribot, 41, kerana rumahnya adalah antara 10 rumah di Rumah Murah Sagil, khususnya di Jalan Puteri 16, di sini yang dijangka dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Katanya, lebih teruk jika hujan lebat di Gunung Ledang berikutan air lambat surut yang mengambil masa sehingga dua jam.

Sejak lima tahun duduk menyewa di situ, penduduk bagaikan sudah lali dengan keadaan itu walaupun kadang-kala meletihkan berikutan terpaksa membersihkan rumah.

"Jumaat lalu, dua kali air masuk iaitu pada jam 1 tengah hari dan 2.30 petang tetapi nasib baik cepat surut.... dua kali terpaksa bersihkan rumah, malah kasut sekolah anak yang diletakkan di hadapan rumah hilang hanyut entah ke mana," katanya.

Katanya, masalah banjir kilat di kawasan itu dapat diselesaikan jika sistem perparitan segera diperbaiki pihak bertanggungjawab.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Zakaria Hassan, 52, berkata jalan raya antara Jalan Puteri 1 hingga Jalan Puteri 4 di Taman Ledang umpama kolam takungan berikutan air naik separas betis pada jam 2 petang, Jumaat lalu.

Katanya, sejak 2002 empat kali banjir kilat melanda tetapi setakat ini bernasib baik air naik tidak melimpah masuk ke dalam rumah.

"Macam kolam takungan... di jalan raya penuh air separas betis ketika saya balik daripada sembahyang Jumaat," katanya.

Katanya, beliau berharap pihak bertanggungjawab dapat memperbaiki segera sistem perparitan yang tidak teratur berikutan parit di laluan utama lebih tinggi dari kawasan perumahan.

"Akibat sistem perparitan tidak teratur menyebabkan air di kawasan perumahan tidak dapat mengalir keluar ke longkang besar di laluan utama akhirnya bertakung umpama kolam di jalan raya di taman," katanya.

Sumber: Berita Harian, 21 Julai 2008

Tiada ulasan: