Memberi manfaat kepada penduduk
MUAR 11 Julai - Walaupun rakyat kini mudah mendapatkan maklumat menerusi pelbagai aplikasi teknologi seperti Internet serta telefon bimbit, namun kewujudan perpustakaan masih tetap relevan.
Malah, dengan kempen membudayakan ilmu sepanjang hayat, perpustakaan awam dan perpustakaan desa tetap menjadi tumpuan ramai untuk menjadi pelbagai maklumat yang diingini.
Lebih membanggakan, semakin ramai penduduk setempat menggunakan kemudahan itu dari sehari ke sehari kerana ia menyediakan apa sahaja maklumat yang diperlukan dalam pelbagai bidang.
Tinjauan Utusan Malaysia ke Perpustakaan Desa Tanjung Agas, di sini mendapati walaupun semakin ramai penduduk setempat menggunakan kemudahan dan bahan bacaan yang terdapat di situ setiap hari.
Seorang pengunjung, Shamsiah Abdul Kadir, 23, memberitahu, perpustakaan desa itu nyata memberi manfaat kepada penduduk setempat terutamanya kepada golongan remaja.
Menurutnya, jika sebelum adanya perpustakaan itu, ramai golongan remaja di kawasan perumahan sekitarnya melepak tanpa tujuan, namun setelah ia dibina beberapa tahun lalu, kini ia menjadi tumpuan mereka berjumpa dan berbincang mengenai pelajaran selain membaca
"Dengan adanya perpustakaan desa ini, ia dapat mengurangkan masalah lepak dan secara tidak langsung menggalakkan minat membaca di kalangan remaja," katanya.
Hakikat itu diakui seorang pelajar, Nor Afifah Sulaiman, 21, yang turut mencadangkan agar lebih banyak program dijalankan di perpustakaan desa tersebut bagi menarik lebih ramai penduduk menggunakan kemudahan berkenaan.
"Dengan adanya pelbagai program diadakan, ia secara tidak langsung menarik orang ramai khususnya remaja berkunjung ke perpustakaan desa," katanya.
Sementara itu seorang guru, Fatimah Dakeran, 26, berpendapat, jumlah buku akademik di perpustakaan tersebut perlu ditambah memandangkan rata-rata pengunjungnya terdiri daripada para pelajar.
Katanya, buku-buku berunsur fiksyen dan novel berbahasa Inggeris juga perlu ditambah bagi meningkatkan minat membaca dan pemahaman penggunaan bahasa tersebut di kalangan pelajar.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 JULAI 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan