PENGUNJUNG SETIA

09 Julai 2008

PROJEK BINA JETI ROSAKKAN JALAN

Selatan: Projek bina jeti rosakkan jalan

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

LEDANG: Lazimnya pembinaan projek pembangunan memberi manfaat kepada penduduk, tetapi berlainan pula yang berlaku di Kampung Kolam, Mukim Serom, di sini, apabila projek yang dibina di kampung itu mengundang masalah kepada mereka.

Penduduk mendakwa, pembinaan jeti di pangkalan nelayan di kampung itu, awal tahun ini, menyebabkan jalan masuk ke kampung itu mengalami kerosakan teruk sehingga menimbulkan masalah kepada penduduk untuk mengangkut hasil pertanian ke pekan.

Jalan masuk ke kampung itu dari Pekan Serom sebelum ini berada dalam keadaan baik. Jalan sepanjang kira-kira tiga kilometer itu menjadi laluan utama penduduk untuk mendapatkan barang keperluan di Pekan Serom.

Jalan itu juga digunakan petani untuk mengangkut hasil pertanian sama ada kelapa sawit dan buah-buahan untuk dipasarkan, selain menjadi laluan pelajar ke sekolah.

Namun, segala-galanya musnah sejak jeti dibina. Jalan pecah dan berlubang sehingga menimbulkan banyak masalah kepada penduduk, terutamanya pada waktu malam.

Seorang penduduk, Abd Ghani Jaafar, 54, mendakwa sebelum pembinaan jeti di pangkalan nelayan di situ, jalan masuk ke kampung itu dari Pekan Serom berada dalam keadaan baik dan memberi keselesaan kepada pengguna.

"Bagaimanapun, sejak jeti dibina banyak permukaan jalan pecah dan berlubang sehingga menimbulkan masalah kepada penduduk,” katanya.

Abd Ghani mendakwa, jalan kampung itu rosak kerana dilalui lori berat yang membawa bahan konkrit bagi tujuan pembinaan jeti di pangkalan nelayan berkenaan.

Tinjauan mendapati sebahagian besar permukaan jalan di kampung itu pecah dan berlubang serta ada bahagian jalan yang mendap sehingga boleh membahayakan keselamatan pengguna.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kolam, Yahya Othman, mengesahkan jalan kampung itu rosak kerana dilalui lori berat yang mengangkut bahan binaan dan konkrit bagi membina jeti berkenaan.

Beliau berkata, selain menyebabkan jalan kampung itu rosak, jeti yang baru disiapkan sejak sebulan lalu itu pula mendap dan hanyut ke perairan sungai sebelum dapat digunakan nelayan pada 29 Jun lalu.

Sumber: Berita Harian, 9 JULAI 2008

Tiada ulasan: