PENGUNJUNG SETIA

26 Julai 2008

HUJAN LEBAT BUKAN HALANGAN

Hujan lebat bukan halangan

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

MUAR 25 Julai - Hujan lebat seawal pukul 6 pagi ini tidak menjadi penghalang untuk Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2008 meneruskan penjelajahan hari kedua membabitkan laluan di daerah Muar, Ledang dan Segamat.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail memulakan kembara dari tempat bermalam di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia di Bakri seawal pukul 7.45 pagi ketika hujan lebat bagi merasmikan Bangunan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Muar (PKAYIM) di Jalan Petrie di sini.

Ketibaan baginda bersama anakanda keempatnya, Tunku Abdul Rahman dan 30 pengiring bermotosikal kuasa tinggi dan 50 kenderaan di rumah kebajikan itu disambut Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Jaffar, ketua-ketua jabatan dan pegawai kerajaan.

PELAJAR puteri di asrama PKAYIM tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Tunku Ibrahim Ismail (tengah) di Muar semalam. (Gambar: Kosmo!)

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyertai konvoi bermotosikal itu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof dan Pengerusi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Zalil Baron.

Meskipun hujan lebat, majlis perasmian bangunan PKAYIM yang baru diubah suai dengan kos RM1.5 juta itu tetap berjalan lancar.

Tunku Ibrahim kemudian menyertai majlis santapan pagi sebelum menyampaikan bantuan zakat kepada 16 penerima sumbangan MAIJ yang melibatkan bantuan sara hidup, pendidikan, perubatan dan perumahan yang keseluruhannya berjumlah RM445,208.

Selesai majlis itu, Tunku Mahkota turut meluangkan masa beramah-mesra dan bergambar dengan anak-anak yatim selama 20 minit sebelum menghadiri majlis gotong-royong membina rumah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) seorang penduduk, Samali Samadi di Kampung Sagil Parit 3, Ledang.

Sukan rakyat

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang kemudiannya menyertai Tunku Mahkota menyaksikan dan menyertai sukan rakyat yang diadakan di Dataran K-Bestari Kampung Sagil Parit 3.

TUNKU Mahkota Johor sedang menyertai acara menyumpit dalam sukan rakyat di Dataran Bestari, Kampung Sagil Parit 3, Ledang. (Gambar: Adisabariman)

Hampir 1,000 penduduk kampung yang menunggu ketibaan baginda sejak pukul 9 pagi tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan Tunku Mahkota.

Rombongan KMJ kemudian bergerak ke Rumah VIP Segamat sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Bandar Segamat.

Selepas solat, konvoi Tunku Ibrahim bergerak pula bagi merasmikan Bangunan Majlis Daerah Labis pada sebelah petang dan pada malamnya, rombongan itu menyertai majlis makan malam sebelum bermalam di bandar Kluang.

KMJ 2008 adalah kesinambungan program yang dimulakan sejak 2001 dan bermula dari Bukit Timbalan, Johor Bahru semalam membabitkan laluan sejauh 910 kilometer mengelilingi Johor hingga Ahad ini.

Kembara selama empat hari tiga malam itu dijadual menjelajah 10 daerah di Johor iaitu Pontian, Batu Pahat, Muar, Ledang, Segamat, Labis, Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan akan berakhir di Hutan Bandar Kulaijaya.

SUMBER: Utusan Malaysia, 26 Julai 2008

Tiada ulasan: