PENGUNJUNG SETIA

17 Julai 2008

PENDUDUK AMBIL ALIH BAIK PULIH KEM

Selatan: Penduduk ambil alih baik pulih kem

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

MAMPU UBAH: Mohd Razik yakin akan kemampuan penduduk menguruskan kem motivasi Seri Gelam, Ledang.

MUAR: Kem Motivasi Seri Gelam yang terbiar hampir dua tahun akibat banjir teruk pada 2006 akan diambil alih dan dibaik pulih penduduk Kampung Seri Gelam dengan kerjasama Jabatan Belia Daerah.

Kem yang dibuka pada 2002 bagi mengendalikan program untuk remaja terutama murid dan pelajar sekolah itu ditutup sepenuhnya berikutan banjir teruk pada 2006 yang menyebabkan pelbagai kemudahan asasnya rosak.

Kerja membaik pulih kem yang terletak bersebelahan Pusat Serenti Muar di Sengkang, dekat sini, membabitkan kos kira-kira RM100,000 dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Pembukaan semula kem itu juga bersesuaian dengan langkah kerajaan negeri untuk menyediakan tapak perkhemahan yang sesuai untuk remaja menjalankan pelbagai kegiatan berbentuk motivasi.

Pengurus kem, Mohd Razik Abdul Jalil, berkata kem motivasi itu akan beroperasi sepenuhnya akhir tahun ini tetapi beberapa projek perkhemahan sudah dirancang dan akan dilaksanakan lebih awal.

Katanya, perkhemahan paling awal dijangka diadakan pada 19 Julai ini membabitkan kumpulan seramai kira-kira 65 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pei Hwa, dekat Sungai Mati.

"Walaupun belum dibuka sepenuhnya, kem itu sudah mempunyai kemudahan asas termasuk kabin, tapak perkhemahan, dewan terbuka, surau, dewan makan dan bilik mandi serta tandas," katanya.

Katanya, kem motivasi itu dikendalikan sepenuhnya oleh penduduk kampung terbabit dengan kerjasama Jabatan Belia Daerah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata, selain ceramah oleh kakitangan AADK dan pakar motivasi, kegiatan lain yang dijalankan di kem berkenaan, termasuk berkayak, merentas hutan serta kegiatan melintas sungai.

Orang ramai yang berminat menganjurkan kegiatan perkhemahan dan motivasi boleh menghubunginya di 012-6126992 atau Dali Musliman 019-6284014.

Sumber: Berita Harian, 17 Julai 2008

Tiada ulasan: