TAK WAJAR: Bayi lelaki masih bertali pusat diletakkan di dalam beg ditemui di pondok menunggu bas di Jalan Sialang, Tangkak.
TANGKAK: Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan tidak sampai dua hari ditemui dalam satu beg yang ditinggalkan di sebuah pondok menunggu bas di Jalan Sialang, dekat sini, malam kelmarin.
Bayi seberat 2.7 kilogram itu ditemui empat warga Indonesia yang dalam perjalanan pulang dari pasar malam, di sini, kira-kira jam 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata sekumpulan warga Indonesia yang dalam perjalanan pulang dikatakan melihat satu beg ditinggalkan di pondok berkenaan dan ketika menghampirinya, mereka mendapati beg itu bergerak-gerak.
“Lelaki itu kemudian membuka zip beg berkenaan dan terkejut apabila mendapati seorang bayi yang masih hidup, dalam beg berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Mohamad Nasir berkata, bayi itu diserahkan pada Balai Polis Tangkak dan kemudiannya dibawa Hospital Tangkak.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di 06-9526222 atau talian hotline 06-9526001.
SUMBER: Berita Harian, 28 Julai 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan