PENGUNJUNG SETIA

04 Ogos 2010

200 RAI KHATAM AL-QURAN

SAGIL – Seramai 200 penduduk kampung Parit 2, di sini menyertai Majlis Khatam al-Quran bagi meraikan pengkhataman 12 pelajar yang terdiri daripada remaja dan warga emas.

Ketua Kampung Parit 2, Simin Jasiman berkata, Majlis Khatam al-Quran itu dianjurkan Pergerakan Wanita UMNO cawangan Sagil dengan kerjasama Persatuan Guru Tahfiz Daerah Ledang/ Muar.

Menurutnya, majlis khatam itu adalah kali pertama diadakan bagi meraikan 12 pelajar kelas mengaji di kampung itu.

“Tenaga pengajar bagi kelas mengaji ini, Latipah Sitam yang juga seorang hafizah yang membuka kelas mengaji di rumah bagi setiap hari dari waktu petang sehingga ke malam terbuka kepada semua golongan dewasa dan kanak-kanak yang berminat,” katanya.

Beliau berkata, kelas mengaji juga dilakukan di balai raya di kampung ini pada setiap hari Isnin dan Selasa bagi memberikan pendidikan ilmu agama selain dapat belajar bertaranum.

“12 pelajar yang khatam al-Quran akan diserahkan sijil dan cenderahati sebagai tanda kejayaan khatam Sanad daripada susur galur guru yang terdahulu.

“Acara majlis diadakan pada sebelah pagi di rumah tenaga pengajar kelas mengaji dan satu jamuan kesyukuran dibuat pada sebelah tengah hari selepas selesai acara majlis khatam bagi menjamu peserta dan penduduk yang mengambil bahagian,” katanya.

Selain itu, penganjuran majlis ini adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat yang celik al-Quran dan dapat menarik minat masyarakat terutamanya golongan muda, dewasa serta warga emas, katanya ketika ditemui Sinar Harian.

“Hubungan rapat dan silaturahim antara pelajar dan tenaga pengajar dapat dieratkan lagi dalam mendapatkan kesefahaman masyarakat di kampung ini.

“Harapan saya adalah untuk melihat dan menjadi program in sebagai acara tahunan di kampung ini dan dengan adanya kelas mengaji sebegini, ia akan dapat meningkatkan ilmu masyarakat dengan lebih sistematik terutamanya bagi golongan dewasa,” katanya.

Katanya, usaha itu patut dicontohi seluruh kampung daerah Ledang kerana satu medium bagi menyalurkan ilmu kepada masyarakat kampung yang akhirnya akan melahirkan masyarakat berpengetahuan dalam pelbagai bidang.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 4 OGOS 2010

Tiada ulasan: