PENGUNJUNG SETIA

29 Ogos 2010

PELBAGAI ISU DIUTARAKAN

TANJUNG AGAS - Pelbagai isu yang berkaitan telah diutarakan pada Program Silaturahim, Ziarah, Berbuka Puasa dan Bertarawih Sempena Ramadan Daerah Ledang yang diadakan di Surau Al-Fauzan Tanjung Agas, baru-baru ini.

Pengerusi Surau Al-Fauzan, Abu Bakar Talib berkata, pada program ini beliau berpeluang untuk duduk bersama barisan pemimpin daerah dan kesempatan ini juga ingin mengutarakan beberapa isu yang berkaitan kepada pihak Pejabat Daerah Ledang dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam isu tersebut.

“Pertamanya, isu tanah wakaf perkuburan yang sering banjir jika berlakunya hujan di mana tanah ini tidak dapat dibangunkan bagi tujuan tanah perkuburan disebabkan banjir malah air bertakung dan kami memohon agar bantuan menambak tanah dan pagar bagi tanah perkuburan ini supaya tidak dimasuki oleh binatang buas serta peruntukan jalan bertar bagi laluan ke tanah perkuburan ini.

“Kami memohon peruntukan lampu jalan di kawasan ini supaya dapat menerangi kawasan surau dan dapat mengelakkan kemalangan berlaku terutama bagi penduduk di kawasan ini di mana jalan ini merupakan laluan utama penduduk setempat dan mohon pembinaan dewan di sebelah surau bagi kegunaan orang ramai juga dapat disediakan oleh pihak terlibat,” katanya.

Beliau berkata, perparitan di kawasan sekitar Tanjung Agas tidak dalam keadaan sempurna mengakibatkan limpahan air di Taman Tanjung Gading dan keadaan ini membolehkan nyamuk Aedes membiak lalu mengakibatkan penyakit Denggi.

“Pihak kami juga memohon agar dibina bip polis atau pondok komuniti polis bagi membuat pemantauan lebih giat lagi di kawasan ini kerana kawasan Tanjung Agas meliputi kawasan taman yang terbesar dan mempunyai banyak rumah manakala Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah membuat pemantauan secara kolektif di kawasan yang terbabit.

“Saya selaku wakil kepada penduduk di sini memohon agar permintaan kami ini dapat dipenuhi oleh Pejabat Daerah Ledang dan juga jabatan yang terlibat supaya semua penduduk dapat menjalani kehidupan mereka dengan lebih sempurna dan selesa,” katanya.

Ketua Penolong Pegawai Daerah, Hasrin Kamal Hisham berkata, permohonan dewan sebelah surau telah diluluskan dan kontraktor telah dilantik serta projek akan dilaksanakan dalam tempoh yang secepat mungkin oleh kontraktor yang dipilih.

“Semua permohonan yang diutarakan akan dikaji oleh jabatan-jabatan yang terlibat dan pihaknya akan sedia membantu memenuhi tuntutan sebaik mungkin bagi merealisasikan malah jabatan kami selaku pentadbiran baru bagi daerah Ledang ini akan cuba memenuhinya.

“Semua isu akan diambil perhatian dan peruntukan sedikit masa diperlukan bagi memantapkan jentera dan kepimpinan daerah serta Majlis Daerah Tangkak (MDT) akan berusaha untuk keselesaan rakyat daerah Ledang sepenuhnya,” katanya

Menurutnya, pelbagai inisiatif dan program akan dilaksanakan dari semasa ke semasa melalui peruntukan yang ada dalam memastikan kesejahteraan dipertingkatkan termasuk isu kesihatan, pendidikan, keselamatan selain infrastruktur.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 29 OGOS 2010

Tiada ulasan: