PENGUNJUNG SETIA

10 Ogos 2010

33 KERETA SERTAI KONVOI SEMARAK MERDEKA

ASOJAN (dua dari kiri) sedang melakukan pelepasan peserta Konvoi Semarak Merdeka di Dewan Serbaguna Bukit Gambir sambil diperhatikan Naib Ketua Pemuda UMNO Ledang, Mohd Musa Kathiran (kanan). HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Sebanyak 33 buah kereta menyertai Konvoi Semarak Merdeka anjuran Komuniti Bestari Kampung Parit Ghani, Bukit Gambir bermula dari Dewan Serbaguna Bukit Gambir menuju ke Kampung Kesang Tasek, Sungai Mati.

Program itu bersempena dengan pelancaran Program Semarak Merdeka Daerah Ledang yang berlangsung di Kompleks Sukan Tok Laji, Kesang Tasek anjuran Pejabat Penerangan Daerah Ledang dan Pejabat Daerah Ledang.

Pengerusi Komuniti Bestari Parit Ghani, Angsor Jais, berkata konvoi itu disertai ahli Komuniti Bestari, ahli kelab kereta Faceless Motor Club (FMC), Ketua Masyarakat Cina dan India Bukit Gambir sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing.

Katanya, penyertaan masyarakat berbilang kaum dalam konvoi itu dapat menyemarakkan lagi semangat perpaduan sempena sambutan kemerdekaan negara.

“Semangat cinta kepada negara dapat diterjemahkan melalui pengibaran Jalur Gemilang pada kenderaan peserta konvoi dan mereka berbangga kerana dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Perpaduan antara kaum juga terserlah dengan penglibatan peserta dari kalangan Melayu, Cina dan India sekali gus merapatkan lagi hubungan dan semangat 1Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan peserta konvoi yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan.

Asojan pula berkata, sempena sambutan kemerdekaan yang ke-53 beliau berharap penduduk di DUN Gambir dapat mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, premis perniagaan atau kenderaan bagi menunjukkan semangat patriotik.

Menurut Angsor, konvoi berkereta itu berkumpul di Dataran Pulau Penarik bersama 20 peserta berbasikal dari Kelab Basikal Serom dan 20 buah motosikal dari DUN Tangkak sebelum bergerak ke Kesang Tasek dan pelepasan dilakukan Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 10 OGOS 2010

Tiada ulasan: