TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

17 Ogos 2010

PERPADUAN ASAS UTAMA KEMERDEKAAN

Hamim (tengah) dan tetamu program Semarak Merdeka peringkat Daerah Ledang mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

Orang ramai yang menghadiri program Semarak Merdeka peringkat daerah Ledang di Gelanggang Sukan Tok Laji, Kesang Tasek, bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang. HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Perpaduan rakyat menjadi aspek penting dalam mengekalkan kemerdekaan negara selaras dengan gagasan 1Malaysia yang dibawakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Konsep perpaduan itu sebagai pendekatan untuk menjadikan negara ini terus maju dan rakyatnya dapat hidup dalam suasana harmoni dan makmur.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, berkata kemerdekaan negara yang sudah menjangkau usia 53 tahun perlu dikekalkan dan rakyat seharusnya mengimbau kembali sejarah bagaimana pejuang kemerdekaan dengan semangat tinggi berjuang mendapatkannya.

“Kita perlu bersyukur kerana dilahirkan selepas negara mencapai kemerdekaan dan dapat menikmati pembangunan dan hidup dalam suasana aman berkat daripada usaha pejuang kemerdekaan.

“Semangat kental mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan tanpa mengenal erti kalah dan takut seharusnya menjadi pegangan kita untuk mengekalkan kemerdekaan sedia ada,” katanya ketika berucap merasmikan program Semarak Merdeka sempena perayaan Hari Kebangsaan Ke-53 Peringkat Daerah Ledang di Gelanggang Sukan Tok Laji, Kampung Kesang Tasek, baru-baru ini.

Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Ledang dan Pejabat Daerah Ledang turut dihadiri Ahli Dewan Negara, Senator Ahamat Yusop; Ketua Polis Daerah Ledang, Suprintendan Harun Idris dan Pegawai Penerangan Daerah, Zaid Md Amin.

Hamim berkata, setiap kaum di negara ini perlu menjadikan perpaduan sebagai teras utama mengekalkan kemerdekaan negara kerana jika perpecahan berlaku, pihak musuh dengan sewenang-wenangnya dapat menggugat kestabilan negara.

Katanya, semangat 1Malaysia menjadi pemangkin kepada perpaduan dan berharap masyarakat di Ledang mengekalkan semangat itu bagi kesejahteraan hidup yang dikecapi kini dan untuk generasi akan datang.

Sempena program itu, pelbagai acara diadakan antaranya konvoi Jalur Gemilang melibat 33 buah kereta dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, 20 buah motosikal dari DUN Tangkak dan 20 basikal dari DUN Serom, sukaneka, perlawanan futsal ragbi dan karaoke lagu-lagu patriotik yang disertai peserta daripada Komuniti Bestari dalam daerah Ledang.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 17 OGOS 2010

Tiada ulasan: