PENGUNJUNG SETIA

05 Ogos 2010

ORANG ASLI DIGALAK HANTAR ANAK KE TABIKA

GOH TEE TEE (empat dari kanan) dan Kamsiah (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sukaneka.

KANAK-KANAK Orang Asli Kampung Air Tawas, Tangkak menyertai sukaneka sempena Program Mesra KEMAS Daerah Ledang. HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Masyarakat Orang Asli perlu mengutamakan aspek pendidikan awal anak-anak mereka dengan menghantar ke Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sejak usia enam tahun.

Penyelia Kanan KEMAS daerah, Kamsiah Darus, berkata pendekatan ini untuk memberi pendedahan kepada anak-anak Orang Asli dari peringkat prasekolah biar setanding dengan kanak-kanak di luar dalam menempuh arus moden.

“Ibu bapa perlu menghantar anak mereka yang berusia enam tahun dan kita berharap tahun depan lebih ramai yang menghantar anak-anak ke kelas Tabika yang berhampiran,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Program Mesra KEMAS daerah bersama masyarakat Orang Asli Kampung Air Tawas, Tangkak, di sini.

Perasmian penutup dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee dan turut hadir Tok Batin Mengek Acai dan Tok Batin Tanah Gembur, Jengkeng Jani.

Program Mesra KEMAS daerah bersama masyarakat Orang Asli Kampung Air Tawas itu bertujuan mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan berkenaan dengan masyarakat Orang Asli di pedalaman.

Bagaimanapun, Kamsiah berkata, pihaknya belum berhasrat untuk membuka kelas Tabika di perkampungan itu kerana kapasiti pelajar yang belum mencukupi namun mereka boleh menghantar anak-anak ke kelas yang ada berhampiran seperti di Kampung Payamas.

Sementara itu, Tee Tee berkata pihak kerajaan sentiasa berusaha memastikan semua rakyat termasuk masyarakat Orang Asli mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional sentiasa peka dengan permasalahan yang dihadapi masyarakat Orang Asli di Ledang khususnya 110 orang penduduk daripada 20 keluaraga yang tinggal di Kampung Air Tawas itu.

Menurutnya, pelbagai projek pembangunan turut disalurkan kepada masyarakat Orang Asli untuk kemudahan penduduk kerana mereka merupakan sebahagian daripada penyokong kerajaan dan ingin hidup aman dan harmoni seperti rakyat yang lain.

Program mesra itu diisi dengan pelbagai acara sukaneka seperti meniup belon, lumba tarik upih, meraut lidi, pertandingan menyumpit, memanjat pokok pinang dan sepak raga bulatan yang disertai semua peringkat umur masyarakat Orang Asli Kampung Air Tawas.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 05 OGOS 2010

Tiada ulasan: