PENGUNJUNG SETIA

13 Ogos 2010

JAIJ BERI AMARAN PENJARA, DENDA UMAT ISLAM TIDAK BERPUASA

JOHOR BAHRU 12 Ogos - Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) akan mengenakan kompaun serta penjara terhadap umat Islam yang makan di khalayak ramai sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pihak penguat kuasa JAIJ akan menjalankan operasi khas menangkap mereka yang makan dan minum secara terbuka pada siang hari.

Beliau berkata, mereka yang ditahan akan diambil tindakan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

"Umat Islam yang didapati menjual apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda-benda lain untuk dimakan, diminum atau dihisap juga boleh didakwa mengikut seksyen 15(a) enakmen berkenaan.

"Mereka yang didapati makan atau minum secara terbuka atau di tempat awam pula didakwa mengikut seksyen 15 (b) enakmen yang sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berdasarkan rekod JAIJ, seramai 99 umat Islam ditangkap kerana tidak berpuasa pada siang hari pada Ramadan tahun lalu.

Daerah Batu Pahat mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 23 orang, diikuti Pontian (19), Johor Bahru (15), Segamat (12), Kluang (11), Ledang (10), Kulaijaya, Muar (3), Kota Tinggi (2) dan Mersing (1).

Dalam tempoh tersebut, seramai 18 penjual turut ditangkap kerana menjual makanan dan minuman kepada umat Islam pada siang hari.

Zainal Abidin berkata, jika sabit kesalahan seseorang yang makan di khalayak ramai boleh dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Katanya, penguat kuasa JAIJ tidak akan berkompromi dengan pesalah yang melakukan tindakan tersebut dan pemantauan dijalankan secara berterusan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 OGOS 2010

Tiada ulasan: