PENGUNJUNG SETIA

13 Ogos 2010

KES PENAGIH MENURUN

SUNGAI MATI – Daerah Ledang mencatatkan jumlah penagih baru yang dikesan paling rendah berbanding daerah lain melalui perangkaan jumlah penagih dadah yang berdaftar iaitu seramai 180 orang.

Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ledang, Roslan Husin berkata, kenyataan perangkaan kes penagih dadah itu bagaimanapun tidak boleh dianggap selamat dan selesa.

Ini kerana katanya, najis dadah tidak kenal sesiapa, malah rekod menunjukkan latar belakang penagih terdiri daripada pelajar hingga seorang akauntan bank.

“Jika tersilap langkah dan tersalah pilih kawan, kita akan terjerumus ke lembah dadah dan jangan sesekali mencuba dadah kerana ia bukan benda yang boleh dicuba.

“AADK ada menyediakan peruntukan kepada sekolah untuk mewujudkan Bilik Info Pencegahan Dadah bagi memastikan setiap sekolah menengah mempunyai satu bilik sumber maklumat terkini mengenai pencegahan dadah.

“AADK juga akan mengadakan lawatan ke sekolah untuk memberi penerangan kepada pelajar dan ujian air kencing turut dilakukan sekiranya perlu,” katanya dalam ucapannya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Sayangi Diri, Sayangi Keluarga’ anjuran Pertubuhan Pemadam Daerah Ledang Peringkat Mukim Serom/Kundang di Dewan Seri Mutiara, SMK Tengku Mahmud Iskandar (SMKTMI), di sini.

Program dirasmikan Ketua Penolong Pegawai Daerah Ledang, Hashrin Kamal Hashim mewakili Pegawai Daerah Ledang yang disertai pelajar sekolah menengah dan kebangsaan sekitar Mukim Serom/Kundang.

Hadir sama, Setiausaha Pemadam Daerah Ledang, Abd Majid Mistam, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Muar/Ledang, Fuad Samin dan wakil Pengetua SMKTMI, Safian Ismail serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKTMI, Md Jemary Sulaiman.

Ceramah ‘Sayangi Diri, Sayangi Keluarga yang disampaikan Pegawai Pemulihan AADK Muar/Ledang, Nizam Hamden turut memberi kesedaran kepada peserta pada program ini.

Bagi Hashrin, pihaknya bersemangat untuk memerangi najis dadah dan wujudnya Puspen Muar di Bukit Gambir, Ledang adalah sebahagian daripada usaha untuk memulihkan penagih dadah.

“Harapan saya untuk program itu bukan setakat memberikan motivasi semata-mata tetapi memupuk dan memberi kesedaran kepada pelajar sekolah rendah serta menengah mengenai bahaya dadah.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyematkan semangat jati diri supaya tidak terlibat dengan dadah dan gejala sosial dan Pemadam daerah Ledang sentiasa mencari ahli baru.

“Langkah itu perlu bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk memerangi najis dadah dan menjadikan Sifar Dadah 2015 terlaksana,” katanya.

Justeru itu katanya, pusat info pencegahan dadah yang diwujudkan di setiap sekolah dapat digunakan sebagai rujukan selain mendapatkan maklumat mengenai bahayanya dadah.

“Pelatih Puspen masih boleh dipulihkan berbekalkan dengan semangat dan disiplin tinggi agar menjadi insan yang berguna dan masyarakat perlu beri peluang kembali semula kepada komuniti.

“Kesedaran dan tindakan adalah penting dalam membanteras gejala dadah dan saya menyarankan agar semua masyarakat turut sama bekerjasama memerangi dadah di Malaysia,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 13 OGOS 2010

Tiada ulasan: