PENGUNJUNG SETIA

03 Ogos 2010

LAPAN TERIMA SURAT RASMI

SAGIL – Seramai lapan ketua cawangan di sini, menerima peruntukan surat rasmi yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir, M Asojan baru-baru ini.

Menurutnya, penyerahan peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gambir diberikan khusus kepada semua cawangan zon Sagil bagi menaik taraf kemudahan dan prasarana di setiap kampung yang terlibat.

“Peruntukan melalui surat rasmi ini boleh digunakan bagi memohon sebarang peruntukan dan keperluan untuk kegunaan kampung masing-masing akan diserahkan kepada Pegawai Daerah Ledang, kemudiannya pihaknya akan melantik pembekal untuk tindakan yang selanjutnya.

“Ahli Jawatankuasa dan ahli cawangan perlu dimaklumkan dengan pemberian peruntukan ini bagi mengelakkan sebarang salah faham dan tidak puas hati mereka kepada pihak pemimpin,” katanya.

Beliau berkata, tindakan ini dibuat bagi mengelak mana-mana cawangan tercicir dalam pengagihan peruntukan yang diberikan oleh DUN Bukit Gambir.

“Selain itu, peruntukan ini dapat membantu menjayakan projek yang dilaksanakan oleh kampung-kampung seperti projek komputer, naik taraf sistem perparitan dan sebagainya.

“Sebenarnya, peruntukan ini telah diberikan tahun lepas kepada zon Sagil tetapi pada tahun ini, kami telah menaikkan lagi jumlah peruntukan ini bagi membantu penduduk kampung dalam memenuhi permintaan mereka untuk memajukan dan meningkatkan perkhidmatan prasarana kampung yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Asojan berkata, pertemuan kali ini juga adalah untuk mengedarkan borang sumbangan untuk fakir miskin yang akan diberikan kepada setiap ketua cawangan yang hadir khususnya menjelang bulan puasa tidak lama lagi.

“Borang ini akan diberikan kepada ketua cawangan untuk diberikan kepada fakir miskin dan warga emas untuk menerima sumbangan daripada pihak saya.

“Sumbangan ini bertujuan untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk turut sama merasainya nikmat dalam menjalani ibadah puasa dan saya juga akan turut mencuba untuk berpuasa bersama-sama bagi meraikan ketibaan bulan Ramadhan pada bulan hadapan,” katanya.

Beliau berkata, komitmen antara ketua cawangan penting bagi memastikan perlaksanaan tugas mereka sebagai pemimpin di daerah masing-masing berjaya dan tercapai supaya penduduk kampung tidak akan berasa mereka dipinggirkan oleh pihak kerajaan.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 3 OGOS 2010

Tiada ulasan: