PENGUNJUNG SETIA

15 Ogos 2010

KAJI WUJUD PUSAT WARGA TUA


ABDUL Ghani Othman menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penghuni ketika melakukan lawatan ke Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan 2 di Parit Bunga, Ledang, Johor, kelmarin.


LEDANG 14 Ogos – Kerajaan negeri mengkaji mewujudkan pusat penjagaan warga emas bagi menjaga kebajikan mereka yang tercicir daripada pembelaan masyarakat.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pada masa ini peranan itu banyak digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masalah tersebut perlu mendapat perhatian sama daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan, kebanyakan kes warga tua terpinggir berpunca daripada ketiadaan waris, anak-anak tidak mampu menjaga ibu bapa mereka serta bekas pesakit mental yang tiada tempat bergantung.

“Saya berpendapat kerajaan negeri perlu melihat fenomena ini secara menyeluruh walaupun ia agak biasa di Johor dan Malaysia. Ia tetap perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan 2 di Parit Bunga di sini semalam.

Pada lawatan itu, Abdul Ghani turut beramah mesra dengan 22 penghuni rumah tersebut dan menyampaikan sumbangan pakaian, beras dan duit raya kepada mereka.

Menteri Besar berkata, hingga kini, sebanyak 15 pusat penjagaan warga emas swasta beroperasi di Johor Bahru namun perkhidmatannya lebih kepada anak-anak yang membuat keputusan untuk menyerahkan penjagaan kepada rumah perlindungan.

“Bagaimanapun, kita juga mempunyai kes seperti orang tua yang sekian lama tinggal di Hospital Permai tanpa waris, kes hidup sebatang kara atau ditinggalkan anak,” katanya.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan NGO seperti Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor yang memberi komitmen tinggi untuk menjaga kebajikan warga emas yang dipinggirkan keluarga.

“Setiap penghuni rumah ini layak menerima bantuan, malah persatuan yang didaftar secara rasmi juga layak menerima geran peruntukan daripada kerajaan Pusat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat serta kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan 2, Norzaimah Bidin berkata, pihaknya telah memulakan perkhidmatan sejak 1 Mac lalu dan hingga kini menjaga 21 warga emas serta seorang orang kurang upaya (OKU).

“Seramai 11 penghuni rumah ini ialah bekas pesakit Hospital Permai dan mereka stabil tetapi tiada waris yang mahu menjaga mereka.

“Di samping itu, kami juga menjaga warga emas yang ditinggalkan sebatang kara oleh anak-anak dan keluarga mereka,” katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 15 OGOS 2010

Tiada ulasan: