TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

15 Ogos 2010

PELAWA PENGLIBATAN JKKK, KRT

SEROM – Satu program Pesta Dodol sempena sambuta:n Hari Raya Aidilfitri akan diadakan pada 29 Ogos 2010 di Padang Bola Keranjang Taman Serom Utama di sini, bagi memeriahkan lagi suasana Hari Raya yang bakal menjelang tiba.

Program ini dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Serom dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT ) Taman Serom Utama dan akan dirasmikan Ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri.

Pengerusi Pesta Dodol, Haw Chin Teck berkata, cetusan idea bagi program ini diusulkan olehnya kerana acara sebegini belum pernah dilakukan di kawasan ini terutama Ledang.

“Pesta dodol ini julung kali akan diadakan di Ledang dan kami turut mempelawa JKKK dan KRT seluruh daerah Ledang secara rasmi bagi meramaikan serta memeriahkan lagi pesta dodol yang akan berlangsung.

“Penglibatan terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pesta dodol ini malah mereka dibenarkan untuk mengambil seberapa banyak dodol yang mereka inginkan mengikut kuantiti yang dapat disediakan,” katanya.

Menurutnya, dana Pesta Dodol ini sudah disediakan hasil daripada peruntukan Jabatan Perpaduan Daerah Ledang, sumbangan daripada Ir Hamim Samuri, tabung dan sumbangan daripada pihak tertentu.

“Bagi acara ini, pihak penganjur akan menyediakan bahan mentah masakan seperti tepung pulut, gula kelapa, gula pasir, santan kelapa dan gas manakala peserta perlu menyiapkan kelengkapan memasak seperti kuali, senduk, dapur gas dan tungku masak.

“Peserta juga turut dibenarkan membawa bahan tambahan mereka sendiri mengikut kemahuan dan keinginan mereka untuk ditambahkan pada masakan dodol mereka seperti durian, gula bagi mereka yang gemar manis dan sebagainya,” katanya.

Naib Pengerusi Taman Serom Utama, Abdul Razak Ma’in berkata, dianggarkan sebanyak 100 kuali besar dodol akan dimasak secara bergotong rotong dan bergilir pada pesta ini dan tiada masa diperuntukkan dalam proses memasak dodol berkenaan.

“Pihak kami menganggarkan selama 4 jam tapi ianya bergantung kepada peserta bagi memasak dodol mengikut masa yang diinginkan malah mereka jug boleh menambah perisa tambahan dan bahan tambahan pada dodol yang dimasak,” katanya.

Menurutnya, matlamat penganjuran pesta ini adalah untuk menjadikan acara ini sebagai aktiviti tahunan kepada peringkat daerah Ledang jika sambutan pesta ini berjaya dan menggalakkan ianya boleh dilakukan secara bergilir di KRT lain pula.

“Perpaduan antara kaum juga dapat dieratkan kerana pelbagai kaum akan terlibat dalam acara pesta dodol ini malah KRT Taman Serom Utama juga dapat mengenali lebih rapat lagi dengan KRT daripada kawasan lain di daerah Ledang ini,” katanya.

Bagi kaum Cina dan India, mereka dapat bersama merasai suasana persiapan Aidilfitri yang disambut oleh umat Islam dan jurang perbezaan dalam kaum yang pelbagai dapat dirapatkan lagi.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 15 OGOS 2010

Tiada ulasan: