PENGUNJUNG SETIA

28 Ogos 2010

PENAGIH DADAH HADAPI TUJUH TUDUHAN SAMUN

MUAR 27 Ogos - Seorang penagih dadah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tujuh pertuduhan samun termasuk dua daripadanya didakwa bersenjatakan parang di sekitar daerah Ledang sejak Julai tahun lalu.

Dalam tempoh antara 3 Julai 2009 dan 9 Julai lalu, Nazzun Ngasir, 25, didakwa menyamun lima buah kedai runcit dan dua tuduhan meragut di tepi jalan di sekitar daerah tersebut.

Dua rakannya, Hanafi Md. Salleh dan Ady Jazfizzan Mansor, masing-masing berusia 22 tahun juga didakwa bersubahat dalam beberapa kejadian tersebut.

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan masing-masing.

Mereka dihadapkan ke mahkamah setelah Nazzun dan Hanafi berjaya diberkas oleh pihak polis dalam serbuan di sarang penagihan dadah di sebuah ladang kelapa sawit di Parit Zink, Bukit Gambir pada 1 Ogos lalu.

Ady Jazfizzan pula ditahan dalam operasi cegah jenayah di sekitar Bukit Gambir pada 19 Julai lalu.

Dalam kejadian-kejadian samun tersebut, antara barang-barang yang dilarikan adalah pelbagai jenama rokok, panadol, telefon bimbit, jam tangan, barang kemas dan wang tunai.

Nazzun didakwa atas tiga tuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dua tuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, masing-masing dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama.

Dua tuduhan lagi dikemukakan terhadapnya mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Daripada tujuh tuduhan tersebut, Nazzun didakwa atas dua tuduhan bersama-sama Hanafi melakukan samun dengan bersenjatakan parang di dua lokasi iaitu di Jalan Mulia, Bukit Gambir pada 9 Julai lalu dan di Jalan Segamat-Tangkak, 6 April lepas.

Hanafi turut menghadapi empat pertuduhan melakukan samun di kedai-kedai runcit termasuk ada yang menyebabkan kecederaan ke atas mangsa antara 14 Mac dan 26 Jun lalu.

Sementara Ady Jazfizzan pula hanya menghadapi satu tuduhan menyamun bersama Nazzun di sebuah kedai runcit di Grisek pada 3 Julai 2009.

Hakim Kamarudin Kamsun menetapkan ikat jamin RM58,000 dengan seorang penjamin terhadap Nazzun bagi kesemua tujuh tuduhan, RM48,000 (Hanafi) dan RM10,000 (Ady Jazfizzan).

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula semua kes berkenaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 OGOS 2010

Tiada ulasan: